Virus 'Pemakan' Hati


Hampir setengah juta orang berisiko dijangkiti hepatitis C
mariatul qatiah zakaria | 14 April 2015 1:59 PM

AMALAN gaya hidup yang tidak sihat hari ini sebenarnya antara penyumbang kepada peningkatan jumlah pesakit di negara ini.


Selain daripada itu, masyarakat juga dilihat mengambil mudah mengenai kesihatan diri masing-masing apabila tidak pernah menjalani sebarang saringan kesihatan untuk mengetahui keadaan badan sendiri.

Apa yang lebih membimbangkan, kebanyakan rakyat Malaysia hari ini tidak mengetahui bahawa diri mereka menghidap penyakit malah situasi di mana apabila mereka mengetahui diri mereka berpenyakit, sudah terlambat dan tidak boleh diubati adalah lumrah.

Terbaharu, lebih daripada 451,000 rakyat negara ini mungkin berisiko dijangkiti hepatitis C. Daripada jumlah tersebut sebanyak 80 peratus penghidap tidak mengetahui bahawa mereka dijangkiti penyakit itu.

Pada masa yang sama, jumlah tersebut juga mewakili penghidap penyakit hepatitis C kronik yang mampu membawa maut.

Menurut Konsultan Kanan Gastroenterologi, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof. Datuk Dr. Goh Khean Lee, hepatitis C merupakan antara penyakit senyap yang mampu ‘membunuh’ penghidapnya.

Ini kerana katanya, hepatitis C merupakan penyakit yang tidak menunjukkan sebarang simptom-simptom dan kebanyakan pesakit yang mengetahui bahawa mereka dijangkiti telah berada pada tahap kronik.

“Hepatitis C adalah penyakit hati yang disebabkan oleh virus hepatitis C dan perlu diberikan perhatian serius.

“Hepatitis bermakna radang hati dan virus ini boleh menyebabkan kita mengalami masalah yang mungkin berakhir dengan kematian jika tidak diberi rawatan yang sewajarnya.

“Jangkitan penyakit ini boleh dibahagikan kepada dua, iaitu akut gejala teruk dalam masa yang singkat dan kronik kerosakan teruk yang berlaku secara perlahan dalam tempoh yang panjang bergantung kepada jenis virus yang menyerang dan sudah pasti punca utama hepatitis ialah jangkitan virus,” ujarnya ketika sesi pembelajaran bersama media bertajuk Hepatitis C: Senyap, Membunuh tetapi Boleh Dirawat di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sesi anjuran AbbVie Malaysia itu bagi membincangkan mengenai penyakit hepatitis C di negara ini, cabaran dihadapi pesakit dan perlunya kesedaran terhadap ujian awal hepatitis C.

Mengulas lanjut mengenai situasi tersebut, menurut Dr. Khean Lee, hepatitis C dikategorikan sebagai penyakit kronik dan boleh berjangkit melalui perkongsian jarum suntikan dengan individu yang dijangkiti, pemindahan darah atau menjalani pembedahan pemindahan organ sebelum tahun 1994, menjalani dialisis darah dalam tempoh berpanjangan, hubungan seks (terutama yang kerap bertukar pasangan), akupuntur, dan jangkitan daripada ibu kepada bayi ketika bersalin.

Apa yang lebih memeritkan katanya, ramai pesakit tidak mengalami sebarang gejala tetapi ia boleh muncul walaupun setelah lima tahun mendapat jangkitan.

Antara gejala yang biasa dihidapi pesakit ialah demam kuning, demam yang tidak teruk, sakit perut, keletihan, dan kerap mendapat jangkitan virus lain seperti selesema.

Selain itu, beliau memberitahu, hepatitis C boleh menyebabkan sirosis hati seterusnya menjadi kanser hati.

Biarpun jumlah kematian akibat penyakit itu tinggi, kesedaran mengenainya masih kurang dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Apa yang harus semua orang ketahui, ialah virus hepatitis boleh mengancam nyawa dan penyakit tersebut bertambah serius apabila sebahagian besar masyarakat memandang remeh perkara itu.

“Kadangkala ada yang tidak sedar yang mereka sudah dijangkiti atau pun membawa virus tersebut. Penyakit tersebut memang berbahaya kerana boleh mengakibatkan kanser hati.

“Tiada cara lain melainkan orang ramai sendiri berjumpa doktor untuk mengesan penyakit itu dan kepada orang dewasa, pergilah menjalani ujian darah dan mengambil vaksin hepatitis,” katanya.

Untuk hepatitis C, Dr. Khean Lee berkata, kini terdapat ubat dalam bentuk pil atau suntikan interferon yang mampu memberi kesan positif.

Beliau berkata, sekiranya seseorang itu mengetahui bahawa diri mereka menghidap hepatitis C, segeralah lakukan rawatan untuk mengelakkan kerosakan lebih teruk kepada hati.

Bagaimanapun, setiap pesakit memerlukan pengesahan jenis virus dan tahap jangkitan melalui beberapa ujian bagi menyesuaikan dengan kaedah rawatan yang paling berkesan.

Selain itu, setiap pesakit juga perlu mendapatkan pemeriksaan susulan setiap enam bulan atau setahun sekali bagi memastikan tiada keradangan baru pada hati mereka.

Yang pasti, pencegahan awal perlu diambil kerana sesetengah pesakit mungkin pulih manakala yang lain pula mungkin kekal dengan virus tersebut.

Namun, perlu diingat bahawa hepatitis C boleh dicegah, dikawal, dan kini boleh dirawat sebelum ia berkembang menjadi sirosis mahupun kanser hati.

Jadi jalani ujian darah hari ini sekiranya anda merasakan diri anda berisiko dijangkiti oleh hepatitis C.

- See more at: http://www.utusan.com.my/gaya-hidup/kesihatan/virus-pemakan-hati-1.80870#sthash.JM7gNUxP.dpuf
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...