Bakal Pengantin Ada Virus Hepatitis B

 

Apakah nasihat doktor supaya suami saya tidak terkena virus sama apabila kami berkahwin kelak? Adakah kemungkinan saya memiliki anak yang sihat dan bebas daripada virus ini?

GADIS KELIRU
Shah Alam, Selangor


SEBELUM itu, ingin saya jelaskan bahawa ini bukan bidang kepakaran saya. Terdapat kategori pakar perubatan dalaman, lebih-lebih lagi yang mempunyai tambahan pengkhususan dalam bidang hepatologi atau gastro-enterologi yang lebih mahir dalam mengendalikan kes anda, malah dapat memberikan penerangan lebih mendalam dan jelas terhadap penyakit ini.

Penerangan di bawah adalah secara panduan saja, seeloknya anda bertanyakan doktor anda untuk kesahihan.

Anda tidak menyatakan status jangkitan yang anda alami, yang boleh diketahui melalui ujian darah ke atas protein berlainan hepatitis B (s-Antibodi, s-Antigen, e-Antigen, c-Antibodi dan c-Antibodi IgM).

Tidak salah jika anda ingin mengulangi ujian itu untuk kepastian. Anda juga boleh mengetahui sekiranya anda sudah sembuh daripada virus ini.

Terlebih dulu, anda juga mungkin boleh cuba bertanya kepada bakal suami mengenai status hepatitis B pada dirinya sekiranya dia sudah mendapatkan suntikan vaksin hepatitis B sebelum ini yang boleh melindunginya. Ini boleh disahkan dengan ujian darah.

Jika benar anda dijangkiti dan bakal suami anda tidak pernah mendapat perlindungan vaksin itu, saya nasihat­kan anda berterus terang kepada bakal suami kerana mempunyai virus hepatitis B boleh menjangkiti suami melalui hubungan seks (virus ini terdapat dalam lelehan faraj selain bendalir tubuh seperti darah, air mani, susu badan dan lelehan luka). Ini terutamanya jika ujian darah menunjukkan kehadiran antigen e (hepatitis B e-Antigen) yang bermakna tubuh seseorang mempunyai paras virus hepatitis B yang tinggi dan mudah menjangkiti.

Bakal suami anda juga disaran mendapatkan suntikan gamma immunoglobulin hepatitis B dan memulakan siri vaksinasi hepatitis B secepat mungkin bagi melindunginya.

Berikut adalah beberapa fakta yang boleh dijadikan panduan:


  • Secara perbandingan, virus hepatitis B seribu kali lebih mudah berjangkit berbanding virus HIV. Virus hepatitis B boleh menyebabkan penyakit peradangan hati (hepatitis) yang boleh menjadi kronik, penyakit sirosis hati dan kanser hati (kanser hepato-selular).

  • Tempoh vaksinasi me­ngambil masa enam bulan. Menangguhkan hubungan seks adalah pilihan selamat sehingga suami mengambil suntikan immunoglobulin dan vaksinasi lengkap serta disahkan oleh ujian darah dirinya sudah imun terhadap hepatitis B. Menggunakan kondom dalam tempoh terbabit boleh memberi risiko jangkitan sekiranya kondom itu bocor.

  • Anda juga dinasihatkan tidak berkongsi barangan peribadi seperti sikat,
    berus gigi, pengetip kuku, gunting, pencukur dan seumpamanya yang boleh mempunyai sisa darah anda, sama ada dengan mereka di sekeliling anda yang masih belum imun.

  • Begitu juga apabila anda luka, hendaklah ditutup dan elakkan menyentuh orang lain dengan kawasan luka terbabit kerana dikhuatiri berjangkit kepada mereka sekiranya permukaan kulit mereka juga mengalami luka walaupun kecil.

  • Menderma darah juga dilarang.

  • Kebanyakan hospital juga menjalankan ujian hepatitis B secara rutin bagi pesakit yang ingin menjalani pembedahan bagi membolehkan mereka mengubah suai persediaan atau jenis alatan pembedahan untuk mengelakkan risiko kakitangan atau pesakit lain dijangkiti.

    Seeloknya anda memberitahu doktor keadaan hepatitis anda apabila mendapatkan rawatan pe­nyakit seperti demam, apabila hamil dan sebelum menjalani pembedahan.

    Virus hepatitis B juga boleh berpindah secara transmisi ‘menegak’ daripada ibu kepada bayinya. Selepas dilahirkan, bayi anda akan diberikan suntikan immunoglobulin hepatitis B bagi membantu mencegah jangkitan di samping vaksin hepatittis B. Di negara kita, program siri imunisasi hepatitis B ke atas bayi sudah diberikan secara percuma sejak lebih 20 tahun lalu.

    Anda dinasihati menjalani rawatan susulan untuk mengetahui kesan jangkitan terhadap hati dan kesihatan am anda dari semasa ke semasa. Terdapat juga pesakit yang kemudian didapati bebas daripada virus ini.

    Amalkan pemakanan berkhasiat dan seimbang bagi menguatkan sistem imun anda terhadap penyakit lain. Penjagaan ketahanan hati amat penting, ketahui isi kandungan sebenar yang anda ambil dan kesannya sama ada produk makanan, produk tradisional ataupun ubatan moden.

  • http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/BakalpengantinadavirushepatitisB//Article/article_print

    Penyakit Hati Bunuh 1,000 Rakyat Malaysia

     

    Menteri Kesihatan Malaysia Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, kebanyakan kematian ini boleh dielakkan apabila punca utama ia boleh dicegah dan dirawat.


    "Salah tanggapan dalam kalangan masyarakat, hanya mereka yang mengambil alkohol atau arak dan penagih dadah mendapat penyakit hati tetapi banyak sebab lain yang menjurus kepada penyakit ini," katanya pada Majlis Pelancaran Kempen Kesihatan Hati di Hospital Selayang, di sini.

    Hadir sama, atlet terjun negara, Pandelela Rinong sebagai duta kempen, Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Dr Balachandran Sathiamurti, Pengarah Hospital Selayang, Dr Siti Zaleha Mohd Salleh dan Ketua Kumpulan Insuran Takaful Maybank, Kamaludin Ahmad.

    Menurutnya, kes penyakit hati di negara ini yang biasa ditemui adalah hati berlemak, kanser hati, Hepatitis B dan C serta hati beralkohol.

    Pada majlis itu, beliau turut menyatakan kempen berkenaan diadakan dalam meningkat kesedaran kefahaman mengenai pelbagai penyakit hati termasuk langkah pencegahan dan rawatan serta pendidikan kesihatan.

    http://www.hmetro.com.my/articles/Penyakithatibunuh1_000rakyatMalaysia/Article/

    Struktur & Fungsi Hati

    Hati merupakan organ homeostasis yang memainkan peranan penting dalam proses metabolisma dalam manusia dan haiwan. Hati mempunyai pelbagai fungsi termasuk menyimpan glikogen, mensintesis protein plasma, dan menyahtoksik dadah. Ia menghasilkan hempedu yang penting bagi penghadaman. Ia melaksana dan mengawal pelbagai fungsi biokimia jumlah besar yang memerlukan tisu khas. Istilah perubatan yang berkaitan dengan hati sering kali bermula dari perkataan Greek bagi hati iaitu hepar, menjadi hepato- atau hepatic. Hati berwarna perang kemerahan dan terletak di bawah diafragma iaitu di dalam rongga abdomen. Hati menerima makanan terlarut dalam darah apabila makanan ini tercerna dan diserap di usus.

    Struktur

    Permukaan inferior
    Hati manusia dewasa mempunyai berat antara 1.3 - 3.0 kilogram. Ia adalah organ lembut berwarna perang kemerahan. Hati merupakan organ kedua terbesar manusia (organ terbesar adalah kulit) dan kelenjar terbesar dalam tubuh manusia.
    Ia terletak di bawah diafragma di sebelah kanan badan manusia. Sebahagian besar permukaan hati terletak di dalam sangkar toraks bagi melindunginya daripada kecederaan. ia juga menjadi alas bagi pundi hempedu yang menyimpan hempedu.
    Secara anatomi, hati dapat dibahagikan kepada empat lobus iaitu lobus kanan (right lobe), lobus kiri (left lobe), caudate lobe, dan quadrate lobe. Lihat gambar untuk penerangan yang lebih jelas.

    Mikrostruktur

    Hati terdiri daripada koleksi unit-unit mikroskopik yang dipanggil lobul (jangan dikelirukan dengan lobus di atas) yang setiapnya berbentuk heksagon (secara kasar). Lobul-lobul ini merupakan pusat pemprosesan utama bagi hati. Di sinilah hati menjalankan fungsi-fungsinya seperti menyahtoksik darah dan menghasilkan hempedu. Berikut adalah salur-salur yang berhubung dengan setiap lobul hati:
    • Portal triad yang terdiri daripada 3 salur iaitu:
      • Hepatic portal capilarry atau kapilari portal hati. Ia membawa darah dari vena portal hepar ke lobul hati.
      • Arteri hati yang membekalkan darah beroksigen kepada lobul-lobul hati.
      • Duktus hempedu yang membawa cecair hempedu dari lobul ke pundi hempedu untuk disimpan.
    • Vena hati yang membawa darah terdeoksigen dari hati. Terdapat dua vena hati iaitu vena hati kanan dan vena hati kiri. Kedua-dua vena ini bersambung terus dengan vena kava inferior

    Peredaran bahan

    Hati menerima darah melalui arteri hati dan vena portal hepar. Arteri hati membawa darah beroksigen dari jantung untuk dibekalkan kepada sel-sel hati. Vena portal hepar pula membawa darah dari usus untuk dinyahtoksik. Darah dari kedua-dua salur darah ini dibawa keluar dari hati melalui vena hati ke dalam vena kava inferior untuk dibawa balik ke jantung.
    Selain darah, hempedu juga dialirkan keluar dari hati. Duktus hempedu membawa hempedu ke pundi hempedu untuk disimpan dan dipekatkan sebelum dirembes ke dalam duodenum.

    Fungsi

    Berikut adalah fungsi-fungsi hati:
    • Mengawal aras glukosa darah dengan menyimpan glikogen di dalam hati.
    • Menyimpan vitamin dan garam mineral tertentu.
    • Mengawalatur metabolisme karbohidrat, lipid dan asid amino.
    • Menghasilkan hempedu yang akan disimpan di dalam pundi hempedu.
    • Menghasilkan protein-protein plasma tertentu seperti albumin.
    • Menghasilkan faktor-faktor pembekuan darah I (fibrinogen), II (protrombin), V, VII, IX, X and XI
    • Menyahtoksik bahan-bahan beracun terutama dadah dan bahan-bahan bernitrogen seperti ammonia.
    • Sebagai tempat penghasilan sel-sel darah merah fetus.
    • Menguraikan molekul hemoglobin tua.
    • Menyingkirkan hormon-hormon berlebihan.
    http://ms.wikipedia.org/wiki/Hati

    Penyakit Hati Wilson (Wilson's disease)

    Penyakit hati Wilson, atau Wilson's disease (WD), adalah penyakit hati yang disebabkan oleh terlalu banyak pengumpulan kuprum (copper) dalam hati, yang menyebabkan sirhosis hati (hati fibrosis) dan masalah masalah yang lain. WD berlaku kerana hati tidak mampu untuk menyingkirkan kuprum keluar daripada badan, seterusnya menyebabkan pengumpulan kuprum dalam hati dan tisu badan.
    Hati yang mengandungi banyak kuprum (gambar menunjukkan potongan hati)
    Gambar dari http://pathology.mc.duke.edu/neuropath/CNSlecture4/liver.jpg

    Antara simptom utama penyakit WD ialah pesakit mendapat penyakit hati sirhosis dan tanda tanda kerosakan sistem saraf tunjang (central nervous system). Penyakit hati sirhosis dimanifestasi oleh simptom dan tanda berikut:

    • Konfius,
    • Jaundice (kekuningan)
    • Gatal gatal
    • Abdomen penuh air
    • Buasir
    • Pendarahan esofagus,
    • Pendarahan dalaman
    • dan lain lain. Untuk bacaan lanjut, boleh baca di sini:  
    • http://www.blog.kesihatanonline.com/2011/10/kerosakan-hati-fibrosis-sirosis-hati.html
    Antara simptom dan tanda kerosakan sistem saraf tunjang termasuk:
    • Sawan
    • Mania (gembira yang melampau) dan kemurungan
    • Rendah IQ
    • Rendah memori
    • Sukar membuat keputusan
    • Meningkat atau berkurangnya nafsu seksual
    • Pemarah
    • --------------------------------------------
    • Tidak boleh berkata dengan baik (dysarthria)
    • Tidak boleh mengingat dengan baik
    • Tidak boleh berjalan atau bergerak dengan baik (ataxia)
    • Tidak boleh menelan makanan (dysphagia)
    • Pergerakan badan yang janggal dan berulang ulang seperti menepuk tangan
    Antara tanda lain yang boleh dilihat ialah terdapatnya lingkaran perang hasi enapan kuprum pada iris mata (Kayser-Fleischer ring)

    Individu yang menghidap penyakit WD ini juga turut mengalami masalah berikut:
    • Darah cepat termusnah (hemolysis)
    • Jari berwarna biru pada pangkal kuku.
    • Sakit sakit sendi
    • Kulit berwarna kelabu
    Rawatan biasanya menggunakan ubat Penicillamine, atau ubat Trientine dihydrochoride. Sekiranya kerosakan hati sudah terlalu teruk, maka transplan hati perlu dijalankan untuk mengembalikan sistem perkumuhan badan yang normal.
    Gambar menunjukkan bagaimana penyakit ini boleh diwarisi oleh seseorang dari ibu bapanya. Penyakit WD adalah penyakit autosomal recessive.
    Gambar dari Wikipedia.

    Sekiranya ada adik beradik anda yang disahkan menghidapi penyakit ini, maka seharusnya seluruh adik beradik anda dijalankan ujian genetik bagi mengenalpasti sekiranya ada anggota keluarga anda yang lain turut menghidapi penyakit yang sama. Ini adalah kerana dalam segolongan individu, penyakit WD ini tidak menampakkan simptom simptom yang jelas. Untuk mengelakkan komplikasi yang lebih serius, maka setiap adik beradik yang lain harus diperiksa sekiranya ada antara keluarga mereka yang menghidap penyakit ini.
    Info :  http://www.blog.kesihatanonline.com/2012/06/penyakit-hati-wilson-wilsons-disease.html

    Punca dan Cara Merawat Penyakit Hati Berlemak



    INI adalah satu lagi penyakit yang disebabkan oleh obesiti dan diabetes – hati berlemak. Malah remaja seawal usia 15 tahun turut berisiko mendapat penyakit berkaitan hati ini akibat kedua-dua masalah tersebut.

    Menurut Perunding Gastroenterologi, Pusat Perubatan Prince Court, Dr. Ryan Ponnudurai, hati berlemak turut dikenali sebagai FLD, hepatosis steatorea atau hepatitis steatosis.

    Ia merupakan satu keadaan di mana sejumlah besar membran lemak tepu berkumpul di dalam sel hati melalui proses steatosis.

    Hati berlemak terbahagi kepada dua kumpulan utama iaitu hati berlemak biasa (steatosis), dan hati berlemak berkaitan dengan keradangan (steatohepatitis).

    “Secara asas, penyakit ini timbul akibat pengambilan alkohol terutama di negara Barat. Namun, keadaan semakin berubah. Kini, kes berkaitan hati berlemak tanpa kehadiran alkohol (NAFLD) semakin meningkat,” ujarnya.

    Perubahan pada enzim hati secara abnormal yang seterusnya menyebabkan ketidakseimbangan metabolisma menjurus kepada masalah hati berlemak.

    Tanpa simptom yang khusus, penyakit itu lazimnya menyerang mereka yang berumur 40 tahun ke atas selain penghidap obesiti atau diabetes.

    “Kebanyakan pesakit tidak menyedarinya. Disebabkan penyakit ini berkaitan dengan sindrom metabolik (diabetes, tekanan melampau serta obesiti), pemeriksaan biasa tidak mampu mengesan kehadiran lemak pada hati.

    “Hanya dengan melakukan ujian ultra bunyi dan diikuti biopsi pada hati dapat mengesan kehadiran lemak,” tegasnya yang turut menjelaskan tiada satu kaedah rawatan bagi penyakit ini.

    Menyerang wanita hamil

    Tambahnya, progres steatohepatitis mampu menyebabkan fibrosis hati dan sirosis. Akibatnya, ia meningkatkan risiko kematian terhadap penghidapnya.

    Selain itu, fibrosis atau sirosis di dalam hati dihadapi oleh antara 15 hingga 50 peratus pesakit hati berlemak tanpa alkohol steatohepatitis (NASH).

    Ryan menegaskan, hanya dengan menjalani cara hidup yang sihat serta mengamalkan pemakanan yang teratur mampu mengelakkan penularan penyakit itu.

    Ryan turut menjelaskan, penyakit hati berlemak itu juga merupakan punca kepada gagalnya pemindahan hati dilakukan.

    “Sejak lima tahun lepas, kebanyakan pakar bedah mengalami masalah dalam melakukan pemindahan hati walaupun mempunyai ramai penderma.

    “Sebabnya, apabila diperiksa keadaan hati penderma, ramai antara mereka tidak menyedari mempunyai hati berlemak,” ungkapnya.

    Ryan berkata, penyakit itu turut menyerang wanita hamil, terutama ketika kandungan berada di peringkat trisemester akhir.

    Namun jelasnya, bagi wanita hamil, ia akan hilang selepas bersalin sama seperti mereka mengalami darah tinggi dan kencing manis ketika tempoh kehamilan.

    Bukan itu saja, Ryan memberitahu bahawa penurunan berat badan secara mendadak turut mengundang kepada kewujudan hati berlemak itu.

    “Kerana risiko ini, mereka yang ingin mengurangkan berat badan disaran agar melakukannya secara berperingkat,” tegasnya.

    Info:http://www.mummynemo.com/2012/03/penyakit-hati-berlemakpunca-dan-cara-merawat-penyakit-hati-berlemak/

    Toksik Punca Penyakit Hati

    Oleh NORAINON OTHMAN

    MENGIKUT laporan Yayasan Hati Malaysia (MLF) tahun lalu, dianggarkan 2.5 juta penduduk di negara ini menderita penyakit hepatitis kronik dan jumlah itu tidak termasuk penyakit hati serius seperti jaundis serta sirosis hati (parut pada hati) akibat pengambilan alkohol.
    Kombinasi makanan tidak berkhasiat, merokok, pengambilan alkohol, minuman berkarbonat, makanan dengan pewarna, pengawet dan racun perosak memberi kesan kepada organ yang bertanggungjawab menyingkirkan toksik dalam tubuh, menyebabkan seseorang itu terdedah kepada penyakit hati pada usia muda.

    Wanita lebih terdedah penyakit hati sekalipun menjalani gaya hidup sihat tanpa mengambil alkohol dan merokok. Alat solek, barangan penjagaan diri dan rambut mungkin memberi kesan kepada sistem hormon kerana pelbagai jenis toksik daripada barangan berkenaan mudah menyerap melalui kulit.
    Tambahan pula, wanita sering terdedah kepada produk pembersihan rumah yang mengandungi lebih 30 toksik dan bahan kimia yang menghakis, sesetengah daripadanya berbau harum yang memberi tanggapan salah bahawa ia bersih dan segar.

    Antara gejala kemerosotan hati ialah gangguan sistem imun yang kerap menyebabkan penyakit yang memberi tekanan kepada tubuh dan boleh menyebabkan cepat tua, letih, mengantuk dan kurang daya tumpuan, kemurungan dan perubahan emosi, jerawat badan, cela pada kulit wajah, lingkaran gelap dan bengkak merah pada mata, peluh berlebihan dan badan berbau, masalah pencernaan, pedih hulu hati, kembung dan sembelit serta kurang toleransi terhadap makanan berlemak dan alkohol.

    Pengarah Origine Sdn Bhd, Shailesh Waran berkata, mereka yang terdedah kepada penyakit hati disebabkan gaya hidup moden wajar mencari perubatan alternatif seperti Ayurveda iaitu kaedah perubatan tradisional India yang berasaskan herba, tidak mengandungi bahan sintetik, menjalani kajian klinikal serta digunakan oleh syarikat Barat.
    Sebagai sokongan kepada perubatan moden, ia pilihan yang berpatutan ketika kos perubatan yang semakin meningkat.

    Menurutnya, suplemen Ayurveda yang berasaskan herba, Kamilari yang diperkenalkan bagi membantu mencegah kerosakan hati, terbukti secara klinikal membantu merawat dan melindungi daripada serangan penyakit berkenaan.
    “Sejak 1960, Kamilari berjaya membantu merawat mereka yang menderita pelbagai tahap penyakit hati seperti sirosis hati akibat pengambilan alkohol, hepatitis dan jaundis,” katanya.

    Shailesh berkata, suplemen itu terbukti secara klinikal sebagai anti toksik hati, berupaya membantu mencegah kerosakan hati, selamat digunakan dan tiada kesan sampingan.

    “Kamilari membantu meningkatkan sistem imun. Ia disyorkan kepada individu yang mengidap masalah hati berlemak, mereka yang mengambil minuman beralkohol, sirosis hati, jaundis dan hepatitis,” katanya.

    Kamilari yang dilancarkan baru-baru ini, mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan dan bahagian kawalan ubatan India. Ia boleh didapati di farmasi terpilih di Kuala Lumpur.
    Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/06 
    Info :  http://www.hmetro.com.my/articles/Toksikpuncapenyakithati/Article/

    Kerosakan Hati Fibrosis / Sirosis hati (Liver Cirrhosis)

    Gambar CT (computed Tomography) sirosis hati

    Penyakit Sirosis hati merupakan penyakit yang terjadi akibat beberapa faktor antaranya ialah jangkitan virus, jangkitan kuman pada salur hempedu, tumor pada hati, banyak minum arak, masalah genetik (autoimun), penggunaan ubat yang melampau (seperti panadol, amiodaron, methyldopa. methotrexate), kekurangan alpa-1 anti-tripsin, masalah jantung, masalah metabolisma ferum dan kuprum dan lain lain lain lagi.

    Penyakit Sirosis hati didefinisikan sebagai kerosakan hati yang total, pembentukan gentian fiber yang tersebar ke  SELURUH kawasan hati, dan pembentukan NODUL (bebola kecil gumpalan sel hati) pada seluruh bahagian hati.

    Mikroskopi bagi penyakit hati sirosis, kelihatan bebola gumpalan sel dalam hati

    Penyakit Sirosis hati amat merbahaya. Ia melibatkan pelbagai tanda tanda dan kesan, sekiranya tidak dirawat dengan segera, boleh menyebabkan kematian kepada pesakit samada secara langsung atau tidak langsung.

    Disebabkan hati telah rosak, maka pengaliran hempedu dari hati ke salur hempedu tidak dapat berlaku dan menyebabkan hempedu yang sepatutnya dialirkan ke usus tidak dapat disalurkan. Ini menyebabkan bahan makanan berlemak tidak dapat diserap ke dalam usus dan menyebabkan najis menjadi hanyir. Oleh sebab sebahagian vitamin adalah larut dalam lemak dan lemak pula tidak diserap, vitamin ini keluar bersama najis dan menyebabkan kekurangan vitamin tersebut iaitu vitamin A, D, E , K. 

    Tanda yang kedua ialah individu dengan hati yang telah rosak mempunyai warna kulit kuning akibat kekuningan (jaundice). Jaundice merupakan kulit kuning yang disebabkan oleh terkumpulnya bahan bilirubin yang sepatutnya disingkirkan oleh hati ke dalam usus, namun proses ini tidak berlaku dan menyebabkan bilirubin duduk di dalam darah dan mengalir ke kulit dan menyebabkan kekuningan. Kekuningan ini jika tidak ditangani menyebabkan kegatalan pada kulit.

    Antara tanda lain yang amat penting ialah penghidap kerosakan hati fibrosis ini ialah mereka mempunyai perut yang kembung akibat pengumpulan air yang keluar daripada salur darah. Hal ini demikian berlaku kerana terdapat tekanan tinggi pada vena portal hati yang mengalirkan darah ke hati. Sekiranya hati 'tersumbat' maka darah bertekanan tinggi dan kesannya banyak cecai dalam darah yang keluar ke abdomen (pertoneal cavity). Selain itu, hati sudah tidak dapat berfungsi menghasilkan albumin sejenis protein dalam darah, oleh sebab itu, tekanan onkotik dalam darah berkurangan dan kuranglah penyerapan kembali cecari dari abdomen ke dalam salur darah. 

    Hati yang rosak boleh menyebabkan aliran darah ke hati terganggu dan banyak darah terpaksa melalui jalan lain untuk kembali ke jantung. Jalan lain tersebut ialah:
    1. Jalan melalui dubur
    2. Jalan melalui esofagus (salur makanan)
    3. Jalan sekitar pusat
    Melalui jalan jalan ini, darah dapat memintas hati untuk ke jantung. Oleh sebab itu, orang yang mempunyai penyakit sirosis selain mempunyai perut yang membuncit, mereka juga mempunyai salur darah yang jelas pada pusat dan kadang kalau boleh mengalami pendarahan pada salur pemakanan dan buasir. Buasir (punggung berdarah/hemorroid) boleh menyebabkan jangkitan dan pembentukan trombus pada paru paru.

    Selain efek fizikal, efek peribadi individu tersebut juga berubah. Individu yang terlibat dengan sirosis hati mempunyai kebolehan otak yang berkurangan. Mereka keliru dengan orientasi semasa (waktu, tempat, keperluan diri dan lain lain berkenaan). Kekeliruan ini adalah efek kerosakan hati kepada otak. Ini dipanggil hepatoencephalopathy. Masalah ini adalah disebabkan oleh bahan bahan kimia merbahaya yang sepatutnya diproses di hati untuk dimusnahkan tidak dapat dimusnahkan dan sebahagian tidak dapat melalui hati dan melalui jalan pintas ke otak menyebabkan kerosakan pada otak. Contoh bahan merbahaya termasuk Methyl-mercaptan. Selain itu, hati yang rosak juga menyebabkan perubahan metabolisma amino asid yang menyebabkan banyaknya amino asid tertentu pada otak yang menyebabkan pembinaan neurotransmitter pelik  seperti octopamin yang menyebabkan tangan tergetar getar dan kekeliruan. Selain itu, Disebabkan metabolisma nitrogen tidak dapat berlaku dengan baik, kebanyakan protein yang diproses tidak dijadikan urea oleh hati. Maka sumber nitrogen ini berkumpul dalam bentuk ammonium. Ammonium yang banyak dalam sel otak menyebabkan glutamate masuk ke dalam sel otak bagi membentuk glutamin. Disebabkan terlalu banyak glutamin dalam otak, maka tekanan osmotik dalam sel otak menjadi tinggi dan banyak air masuk ke dalam otak, menyebabkan otak membengkak (edema).

    Masalah lain termasuk kerosakan pada ginjal yang dipanggil hepato-renal syndrom. Masalah hepato-renal ialah masalah yang disebabkan oleh terlalu banyak bahan pengembang salur darah (vasodilator) tidak dapat dimusnahkan oleh hati. Oleh sebab itu, terlalu banyak pengembangan salur darah berlaku. Ginjal terpaksa melawan pengembangan salur darah ini melalui sistem sympathetic dan menghasilkan pencerutan arteri ke ginjal. Oleh sebab terlalu hebat pencerutan pada ginjal, maka organ itu menjadi rosak. 

    Antara tanda tanda lain termasuk:
    • Lelaki mempunyai buah dada (gynecomastia)
    • tapak tangan merah
    • mempunyai tahi lalat merah yang jika ditekan tidak mahu hilang (spider nevi)
    Mnemonic Penyakit hati Sirosis

    Rawatan:
    Rawatan mesti yang pertama sekali ialah dengan merawat punca penyakit sirosis ini berlaku. 
    • Sekiranya puncanya ialah virus hepatitis maka berikan rawatan antivirus kepada pesakit. Antaranya ialah dapatkan Interferon-Beta dan Ribavirin. 
    • Jika punca penyakit ialah ketagihan alkohol, maka usahakan berhenti dari minum arak dengan menggunakan ubat Baclofen
    • Jika punca masalah ialah pengumpulan hempedu dalam hati akibat penyakit genetik seperti PBC (primary biliary cirrhosis), maka gunakanlah Urso-deoxy-cholic acid.
    • Jika punca ialah kerosakan metabolisma seperti terlebih kuprum dalam badan, maka gunakan Penicillamine.

    Bagi mengurangkan tanda tanda penyakit:
    • Untuk kegatalan akibat terlalu banyak kekuningan, gunakanlah Cholestyramine.
    • Untuk mengelakkan terlalu banyak air dalam abdomen akibat ascites, maka gunakan bahan penggalak kencing - diuretics - seperti Spironolactone. Sekiranya kurang berkesan, gunakan Furosamide, namun paras garam Natrium dan Kalium mesti diperiksa selalu. Elakkan daripada memakan garam. Masukkan albumin dalam darah agar dapat meningkatkan tekanan onkotik.
    • Untuk mengelakkan masalah kekeliruan, elakkan daripada memakan daging merah kerana ia mempunyai lebih banyak bahan reput yang merosakkan otak berbanding daging putih.Selalu bertanya pesakit nama mereka dan waktu untuk melihat kebolehan mereka meng-orientasi diri mereka. 
    • Jika terdapat jangkitan pada abdomen, maka dapatkan ubatan seperti (cefotaxime, tazocin) dan sekiranya mereka sensitif pada ubat tersebut, boleh cuba Metronidazole melalui vena.
    • Untuk orang yang telah disahkan menghidap masalah jangkitan pada abdomen sebelum ini, beri mereka ubat pencegah jangkitan iaitu Norfloxacin.
    • Sentiasa periksa paras alpha-feto-protein bagi mengesahkan pesakit bebas daripada kanser hati (HPC - Hepato Cellular Carcinoma)
    Prognosis
    Peluang sembuh untuk pesakit sirosis dalam masa 5 tahun ialah 50%. Sekiranya transplan hati dijalankan, dapat meningkatkan peratusan kejayaan daripada 20% kepada 70% dalam pesakit tahap akhir.
    Info :  http://www.blog.kesihatanonline.com/2011/10/kerosakan-hati-fibrosis-sirosis-hati.html
    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...