Oleh Hidayatul Akmal Ahmad
Jika anda mengalami masalah kesihatan seperti demam, sakit di
bahagian kanan badan, lemah atau lesu, anda disaran segera berjumpa
doktor. Ini kerana simptom yang dianggap ‘ringan’ itu mungkin petanda
anda penghidap hepatitis C (HCV).
Hepatitis C juga dikenali dengan jolokan pembunuh senyap kerana
hampir 80 peratus penghidapnya tidak tahu mereka dijangkiti sehingga
bertahun-tahun malah berpuluh-puluh tahun.
Lebih membimbangkan, kira-kira 160 juta orang di seluruh dunia
dijangkiti hepatitis C secara kronik manakala 350,000 kematian
dianggarkan setiap tahun akibat penyakit hati yang berkait dengan HCV.
Hepatitis C adalah penyakit yang sukar dikesan kerana selalu menyerang
tanpa membawa kesan khusus atau tidak berpanjangan.
Pakar Gastroenterologi dan Hepatologi, Fakulti Perubatan, The
Chinese University of Hong Kong, Prof Dr Henry Chan, berkata walaupun
ujian darah boleh mengesan kehadiran HCV dengan mudah, kebanyakan
kumpulan berisiko tinggi enggan berbuat demikian.
SEGERA jumpa doktor untuk ujian jika terasa sakit di bahagian kanan badan.
“Ramai yang masih belum peka terhadap simptom hepatitis C kerana
berasakan mereka tidak sakit, kurang mengambil berat terhadap simptom
yang dianggap ringan seperti demam atau cepat letih.
“Perkara ini amat menyedihkan kerana kebanyakan kes hepatitis C
diketahui selepas usia 40 tahun walaupun ramai pesakit dipercayai
dijangkiti virus berkenaan lebih awal.
“Kebanyakan pesakit menyedari tubuh mereka menjadi habitat virus
selepas tahap kesihatan bertambah teruk,” katanya pada Sesi Pendidikan
Media Memahami Penyakit Hepatitis C di Kowloon, Hong Kong, baru-baru
ini.
Menurut Dr Chan, antara kekangan utama masyarakat sukar mengetahui
mengenai hepatitis C ialah tiada sebarang gejala khusus, kurang
kesedaran, stigma, kekurangan pembiayaan, kurang membuat pemeriksaan
selain kurang publisiti mengenainya.
Di rantau Asia Pasifik, kira-kira 27 peratus saja orang awam yang
mengetahui mengenai hepatitis C, 22 peratus tahu ia boleh dirawat
manakala 19 peratus lagi faham mengenai akibat jika tidak dirawat.
Dr Chan berkata, kesan hepatitis C berbeza mengikut individu yang
mana sesetengahnya mengalami masalah kesihatan yang serius dalam masa
lima tahun selepas dijangkiti virus ini.
Sebaliknya, ramai yang menghidap penyakit ini tidak menunjukkan
sebarang tanda meskipun sudah dijangkiti selama 20 tahun atau lebih.
Katanya, keadaan itu menyebabkan sukar bagi seseorang mempercayai yang
dirinya dijangkiti kerana mungkin berasa sihat walaupun hakikatnya
menghidap penyakit itu.
Mengulas lanjut, Dr Chan berkata hati yang sihat menjalankan banyak
tugas yang penting iaitu memproses alkohol dan ubat-ubatan selain
mengeluarkan jus pencernaan untuk memproses makanan.
Turut berfungsi membantu pembekuan darah, melawan jangkitan dan
menyahkan bahan toksik serta kumuhan daripada darah. Namun, apabila HCV
mula memasuki badan, ia menuju ke hati melalui saluran darah.
Di dalam hati, beliau berkata, HCV boleh menimbulkan radang yang
menyebabkan tisu hati menjadi bengkak dan merengsa. Tisu yang sudah
bengkak itu kemudiannya bertukar menuju ke hati melalui saluran darah.
Apabila hati sudah berparut, keberkesanan fungsinya juga turut
terjejas. Kerosakan hati yang berlarutan menyebabkan masalah kesihatan
serius sehingga membawa maut.
Sementara itu, Pakar Perubatan, Sekolah Perubatan, Kolej Universiti
Perubatan Kaohsiung, Prof Dr Ming Lung pula berkata, walaupun pesakit
hepatitis C berpeluang sembuh, kejayaan rawatan bergantung kepada tahap
kerosakan hati pesakit.
Peluang pesakit untuk sembuh, kata beliau, lebih tinggi jika
mendapat rawatan awal. Rawatan hepatitis C bagaimanapun bukan semudah
yang disangkakan apatah lagi tiada jaminan pesakit sembuh sepenuhnya.
Keadaan ini katanya, sering menyebabkan pesakit takut menghadapi
perjalanan rawatan yang sukar.
“Terdapat dua kaedah rawatan dan yang pertama ialah melalui suntikan
sekali seminggu, iaitu stimulasi imun badan pesakit untuk menentang
virus.
“Rawatan ini tidak khusus kerana pesakit akan menerima kesan
sampingan seperti sakit badan dan demam. Rawatan memakan masa kira-kira
48 minggu, ramai pesakit tidak tahan dan takut untuk menjalani rawatan
ini.
“Kaedah kedua ialah menggunakan ubat yang didapati berupaya
menghentikan pembiakan HCV walaupun saintis masih gagal menguasai secara
100 peratus bagaimana ubat itu berfungsi.
“Masalah ubat ini ialah bersifat toksik kepada sel darah merah,
menyebabkan hemoglobin berkurangan dan membawa kepada amenia. Walaupun
rawatan itu menimbulkan kesan tidak diingini, ia tetap dijalankan kerana
HCV tidak akan hilang dengan sendirinya, rawatan segera menjanjikan
peluang penyembuhan yang lebih baik,” katanya.
INFO:
Faktor risiko jangkitan hepatitis C
- Berkongsi peralatan suntikan ubat.
- Pemindahan darah/organ sebelum pemeriksaan diperkenalkan (di Malaysia sebelum 1994).
- Berkongsi menggunakan peralatan yang tidak disteril dalam bidang perubatan atau pergigian.
- Tatu dan bertindik menggunakan perkakas tidak disteril
- Cedera tercucuk picagari (petugas kesihatan)
- Aktiviti seks tanpa perlindungan atau banyak pasangan
- Pemindahan dari ibu kepada bayi sewaktu bersalin
- Akupuntur
- Suntikan dadah, walaupun hanya sekali
Ujian darah kesan bahan dalam darah dan kaitannya dengan hepatitis C.
Ini termasuk:
- Anti HCV (sejenis antibodi)
- ALT (sejenis enzim hati)
- HCV RNA (cebisan bahagian virus berkenaan)
- Genotip (satu strain virus ini)
http://www.hmetro.com.my/articles/Simptom__8216_ringan__8217_hepatitisC/MA/Article