Rencana Kesihatan – Obesiti Pengaruhi Fungsi Hati

Saya dikategori dalam golongan obes yang memungkinkan saya mendapat masalah hati berlemak. Sedikit maklumat mengenai masalah ini serta pemakanan berkaitan mungkin boleh membantu saya.

Jawapan: Kebanyakan daripada kita mengambil mudah aspek penjagaan kesihatan, tidak terkecuali kesihatan hati. Ini mungkin juga disebabkan ia tidak dapat dilihat dengan mata kasar akan peranannya. Namun ketahuilah bahawa ia menjalankan pelbagai fungsi penting tubuh dan membolehkan kita kekal sihat.

Antara fungsi penting hati termasuklah menapis dan menyahtoksik darah, protein, membantu dalam pembekuan darah, menyimpan sesetengah vitamin, mineral, mengawal atur hormon dan pelbagai lagi. Oleh yang demikian, janganlah mengabaikan penjagaan atau menunggu hingga sudah terlewat. Dengan nutrisi dan suplemen yang betul kita masih mampu mengelak kerosakan hati serta mencegah kerosakan yang lebih parah kepada masalah yang sedia ada.


Kekalkan diet rendah lemak. Penyakit hati berlemak kini kian menjadi isu kesihatan yang digeruni. Alkohol kini bukan lagi bahan utama dikaitkan dengan kerosakan hati. Pengumpulan lemak dalam hati adalah penyumbang utama kepada Non-alcoholic fatty liver disease (NAFLD) atau hati berlemak bukan akibat alkohol. Hati berlemak lazimnya tidak mempamerkan simptom, namun lama-kelamaan, masalah ini boleh menjurus kepada komplikasi yang lebih parah seperti keradangan, hati berparut, pengerasan hati dan juga kegagalan fungsi hati.

Kajian mendapati bahawa sindrom metabolik di kalangan pesakit hati berlemak bukan alkohol berkait dengan berat badan berlebihan atau obesiti di bahagian abdomen, paras kolesterol baik (HDL) yang rendah, paras trigliserida yang tinggi dan intoleransi glukosa. Oleh itu, mengawal kriteria-kriteria ini bermanfaat dalam mencegah dan merawat penyakit hati berlemak bukan alkohol.

Berdasarkan hasil kajian ke atas silymarin, iaitu komponen dalam milk thistle mampu memperbaiki fungsi hati dan mencegah kerosakan hati pada pesakit hati berlemak. Silybin yang merupakan komponen paling aktif dalam silymarin pula mampu menstabil membran-membran sel terhadap bahan toksik. Bahan aktif yang juga bertindak sebagai antioksida ini juga boleh meningkatkan aktiviti enzim penentang radikal bebas dalam sel-sel tubuh manusia, memperbaiki fungsi menyahtoksik hati dan menggalakan pemulihan hati.

Menurut laporan dalam the Journal of Alternative and Complimentary Medicine tahun 2003, dos harian silymarin lazim dalam ujian klinikal adalah antara 280mg hingga 800mg, iaitu bersamaan dengan 400mg hingga 1140mg ekstrak Milk thistle.

Kerosakan akibat radikal bebas, sama ada yang terhasil daripada tubuh itu sendiri mahupun daripada faktor luaran akan menyebabkan kerosakan kepada sel-sel tubuh termasuk hati. Salah satu cara untuk mencegah atau melawan kerosakan ini adalah dengan anti oksida seperti vitamin E Tokotrienol. Vitamin E tokotrienol terbukti 40 hingga 60 kali lebih poten sebagai antioksida berbanding vitamin E biasa (tokoferol) dan bermanfaat kepada pelbagai masalah kesihatan.

Berdasarkan kajian, pengambilan vitamin E Tokotrienol memberi manfaat kepada penghidap hati berlemak. Hasil kajian ini mendapati 66 peratus pesakit yang mengamalkan pengambilan vitamin E tokotrienol memperolehi hasil yang ketara dalam memperbaiki masalah hati berlemak. Dengan ini pengambilannya dicadangkan kepada mereka yang mengalami masalah ini.

Vitamin B kompleks memberi sumbangan tersendiri kepada kesihatan hati. Ia terlibat dalam banyak aktiviti tubuh, termasuk metabolisme lemak dan juga nutrien kepada sel-sel otak. Vitamin B komplek ini juga sangat diperlukan untuk kesihatan jantung dan juga hati.

Kredit: Flickr
http://www.jomdiet.com/rencana-kesihatan-obesiti-pengaruhi-fungsi-hati/

Hepatitis B Punca 80 Peratus Barah Hati


HEPATITIS B adalah jangkitan hati yang serius disebabkan virus hepatitis B (HBV). Bagi sebilangan orang, jangkitan itu boleh bertukar menjadi kronik sehingga membawa kepada kegagalan hati, barah hati atau sirrosis (keadaan yang menyebabkan hati berparut untuk selama-lamanya). Malah, HBV dikatakan punca utama barah hati dan sirrosis yang kronik.

Mengikut statistik, hepatitis B kronik menduduki tangga ke 10 dalam carta punca kematian paling utama di seluruh dunia dengan kira-kira 350 juta orang dijangkiti sepanjang hayat.

Malah, hepatitis B kronik juga menjadi punca 80 peratus daripada barah hati utama dunia. Dianggarkan setiap tahun kira-kira 1.2 juta individu meninggal dunia akibat penyakit hati kronik yang berkaitan dengan hepatitis B. Di Malaysia, dianggarkan 5.24peratus penduduk mengalami hepatitis B (kira-kira 1.3 juta).

Secara saintifiknya, hepatitis B berpunca daripada virus hepatitis B yang menyerang sel hati. Virus ini boleh dipindahkan daripada ibu kepada anak ketika proses kelahiran atau menerusi pemindahan darah atau pendedahan terhadap darah dan bendalir lain daripada pesakit.

Virus ini 100 kali lebih berjangkit daripada HIV, dan kebanyakan orang tidak menyedari mereka dijangkiti. Ini kerana gejala penyakit hepatitis B mungkin tidak muncul dengan serta-merta. Justeru, ramai pesakit hepatitis B kronik mengambil sikap sambil lewa dalam mendapatkan pemeriksaan. Sikap ini juga mungkin didorong oleh kurangnya pengetahuan mengenai program rawatan yang khusus untuk mengawal virus hepatitis B.

Presiden Yayasan Hepar Malaysia (MLF) yang juga Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Ismail Merican, berkata penting untuk pesakit hepatitis B kronik mendapatkan pemeriksaan menyeluruh bagi menentukan tahap penyakit mereka supaya rawatan yang khusus boleh dijalankan.

Katanya, ada juga kes membabitkan segelintir doktor yang tidak mengetahui wujudnya protokol rawatan untuk pesakit hepatitis B. Ini menyebabkan timbulnya salah anggap oleh pesakit yang berasakan mereka tiada harapan untuk mendapatkan rawatan.

“Sikap segelintir doktor itu adalah masalah yang serius kerana pesakit yang tidak mendapatkan rawatan kemungkinan besar akan berhadapan komplikasi penyakit yang lebih serius seperti penyakit hati kronik, sirrosis dan kanser hati.

“Oleh itu, pesakit hepatitis B seharusnya didiagnosis supaya dapat ditentukan sama ada rawatan diperlukan atau tidak selain jenis dan tempoh rawatan yang sesuai. Walaupun ada sebilangan pesakit yang tidak memerlukan rawatan serta-merta, mereka ini juga harus mendapatkan nasihat doktor supaya komplikasi penyakit boleh dielakkan,” katanya.

Katanya, diagnosis awal serta rawatan yang betul dapat menyelamatkan nyawa. Paling penting, hepatitis B boleh merosakkan hati dan disebarkan kepada orang lain walaupun anda tiada memiliki sebarang tanda dan simptom.

“Justeru, penting untuk anda membuat ujian jika anda percaya anda terdedah pada jangkitan hepatitis B,” katanya.

Bagaimanapun, katanya jangan terpedaya untuk membeli sebarang makanan tambahan yang boleh membaiki fungsi hati tanpa sebarang pengesahan daripada doktor pakar yang bertauliah.

Gejala

Bagi sesetengah orang, hepatitis B menunjukkan simptomnya pada peringkat awal (terutama bagi bayi dan kanak-kanak) tetapi bagi sesetengah yang lain pula tanda awal tidak kelihatan. Secara umumnya gejala hepatitis B akan muncul 12 minggu selepas anda dijangkiti dan ia boleh terjadi sangat serius atau pada tahap ‘lemah’ (mild).

Rawatan

Ada banyak rawatan hepatitis B yang ada di pasaran. Antaranya Sebivo® yang dilancarkan

Novartis Corporation (Malaysia) Sdn Bhd. Sebivo adalah ubat oral sekali sehari yang boleh diambil bersama atau tanpa makanan. Ia berfungsi dengan mengekang HBV secara pantas dan berkesan di kalangan pesakit dewasa yang menunjukkan tanda-tanda penggandaan virus dan radang hati aktif.

Pelan rawatan bagi pesakit hepatitis B kronik bergantung kepada peringkat penyakit itu. Justeru, penting untuk pesakit menemui doktor secara berkala untuk pemeriksaan walaupun mereka tidak memerlukan ubat buat masa ini.

Ini bagi menentukan rancangan pengurusan dan jenis terapi yang sewajarnya berasaskan keadaan mereka. Pengesanan awal amat penting kerana ia boleh mencegah kerumitan serius yang dihadapi pesakit pada masa depan dan membantu meningkatkan kualiti kehidupan.

INFO: Simptom hepatitis B
  • Kurang selera makan
  • Loya dan muntah
  • Lemah dan pening
  • Sakit perut terutama di sekeliling atau berdekatan hati
  • Air kencing berwarna gelap
  • Kulit yang kekuningan dan mata berwarna putih (jaundis)
  • Sakit sendi.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...