Vaksin: Kematian 8 bayi China disiasat
 
 
BEIJING - CHINA. Pihak berkuasa kesihatan China tidak mendapati wujud kaitan antara pemberian vaksin Hepatitis B dengan kematian sembilan kanak-kanak, demikian dilaporkan media kerajaan pada Jumaat.

Seramai 17 kanak-kanak dilapor meninggal dunia selepas diberi suntikan vaksin untuk mencegah penyakit hati itu antara 13 dan 31 Disember.

Sembilan daripada kes berkenaan tidak mempunyai kaitan dengan vaksin itu, lapor agensi berita Xinhua, yang memetik pengarah biro kawalan penyakit, Suruhanjaya Kesihatan dan Perancang Keluarga Nasional Yu Jingjin, sebagai berkata.

Yu berkata analisis awal menunjukkan lapan kes lain juga tidak mempunyai kaitan dengan vaksin itu dan punca kematian akan disahkan selepas selesai urusan autopsi.

Xinhua memetik Li Guoqing dari Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan China sebagai berkata tiada masalah ditemukan dengan vaksin tertentu, sama ada dari segi amalan pengeluaran atau kualiti produk. 

Terdahulu, media kerajaan melaporkan tiga pengeluar vaksin Hepatitis B diperintah menggantung pengeluaran kerana gagal memenuhi syarat kualiti pengeluaran.

Dalam tempoh 11 bulan pertama tahun lepas, tiga syarikat itu menghasilkan kira-kira 80 peratus daripada jumlah vaksin Hepatitis B. - Bernama

http://www.sinarharian.com.my/china-nafi-vaksin-hepatitis-b-sebabkan-kematian-1.236874