Hepatitis B Punca Kanser Hati


KIRA-KIRA 1.3 juta rakyat Malaysia didapati pembawa kuman virus hepatitis B. Mereka kelihatan sihat tetapi mampu secara senyap-senyap menjangkiti orang lain.

Pembawa kuman hepatitis B yang kronik mempunyai 200 kali ganda risiko untuk mendapat kanser hati berbanding dengan mereka yang normal.

Hepatitis B kronik adalah punca kematian yang ke-10 utama di seluruh dunia dengan kira-kira 350 juta orang dijangkiti, manakala setiap tahun dianggarkan kira-kira 1.2 juta individu meninggal dunia akibat penyakit kronik yang berkaitan dengan penyakit ini.

Virus hepatitis B akan menyerang sel hati. Ia boleh dipindahkan dari ibu ke anak semasa lahir atau menerusi pendedahan kepada darah dan bendalir badan orang yang dijangkiti.

Virus ini 100 kali lebih mudah berjangkit daripada HIV dan kebanyakan orang tidak sedar mereka dijangkiti virus tersebut. Ini kerana penyakit tersebut mungkin tidak muncul dengan serta-merta.

Profesor Perubatan dan Perunding Hepatology di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof. Dr. Rosmawati Mohamed berkata, hepatitis B kronik ialah masalah perubatan serius yang boleh menyebabkan masalah hati seperti sirosis, kanser dan kegagalan organ tersebut, seterusnya membawa kematian awal.

“Mengikut laporan yang dikeluarkan oleh PPUM, hepatitis B ialah punca utama kanser hati iaitu 85 peratus jika dibandingkan dengan hepatitis C ( dua peratus), alkohol (empat peratus) dan selebihnya masih belum diketahui.

“Antara faktor yang mempengaruhi hepatitis B kronik ialah peningkatan umur, gender lelaki, pengambilan alkohol secara berlebihan dan merokok.

“Walaupun kajian PPUM menunjukkan lelaki lebih berisiko daripada wanita, golongan wanita jangan memandang remeh tentang penyakit ini, sekurang-kurangnya lakukan pemeriksaan kesihatan sekali seumur hidup.

Matlamat rawatan

“Matlamat utama rawatan ialah untuk menyekat jumlah virus hepatitis B dalam sistem dan memastikan parasnya serendah yang mungkin dalam jangka panjang. Ini merupakan faktor penting dalam usaha menambah baik keputusan rawatan pesakit,” katanya lagi ketika sidang media pengenalan rawatan hepatitis B, Sebivo, di Petaling Jaya, Selangor.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Novartis Corporation (Malaysia) Sdn. Bhd., Richard Abela dan Prof. Dr. Lim Seng Gee dari National University Hospital, Singapura.

Rawatan Sebivo (telbivudine) dapat mengekang virus dengan lebih pantas dan menyeluruh berbanding rawatan Lamivudine.

Penemuan ini berdasarkan kajian penting Globe, sebuah kajian klinikal fasa III, yang membabitkan 1,367 pesakit dari 20 negara dan merupakan ujian pendaftaran terbesar bagi pesakit hepatitis B kronik yang pernah dijalankan.

Dalam kajian Globe, sebahagian besar pesakit adalah dari Asia. Sebivo dapat mengekang virus dengan lebih pantas dan menyeluruh berbanding Lamivudine dengan profil keselamatan lebih baik.

Kesan ini dikekalkan selepas dua tahun rawatan, menunjukkan bahawa Sebivo boleh dijadikan pilihan rawatan jangka panjang bagi penghidap hepatitis B.

Analisis data Globe menunjukkan bahawa pengekangan virus maksimum pada minggu ke-24.

Pada minggu ke-24 selepas memulakan terapi, lebih ramai pesakit yang menggunakan Sebivo didapati mempunyai kandungan virus hepatitis B yang tidak dapat dikesan berbanding Lamivudine, lantas membuktikan keberkesanan anti virus Sebivo.

Mempunyai pilihan

“Pelancaran Sebivo memang dinanti-nantikan kerana para doktor kini mempunyai pilihan rawatan tambahan untuk merawat pesakit yang menghidap hepatitis B kronik, penyakit yang biasanya dialami sepanjang hayat,’’ jelasnya.

Rancangan rawatan bagi pesakit hepatitis B kronik bergantung kepada peringkat penyakit. Pesakit perlu menemui doktor secara berkala untuk pemeriksaan, walaupun mereka tidak memerlukan ubat buat masa ini.

“Pesakit perlu datang untuk menjalani pemeriksaan supaya doktor boleh menentukan rancangan pengurusan dan jenis terapi yang sewajarnya berasaskan keadaan mereka.

Pengesanan awal amat penting kerana kita boleh mencegah kerumitan serius bagi pesakit pada masa depan, justeru meningkatkan kualiti kehidupan mereka,” kata Dr. Rosmawati.

INFO
- Ia merupakan jangkitan pada organ hati oleh kuman virus hepatitis B (HBV). Hepatitis bermaksud radang hati yang lazimnya menyebabkan hati membengkak dan terasa lembut. Kadangkala ia membawa kerosakan hati yang berkekalan.
- Lebih daripada 350 juta penduduk dunia dijangkiti oleh penyakit hepatitis B ini. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyenaraikan hepatitis B sebagai penyebab yang ke-10 menyebabkan kematian di dunia.
- Virus hepatitis B terdapat di dalam cecair badan mereka yang dijangkiti penyakit hepatitis B seperti darah, air liur, air mani, rembesan dari faraj, air mata, mukus, air kencing dan juga susu badan.
- Walau bagaimanapun, kebanyakan jangkitan adalah disebabkan oleh pemindahan darah yang mengandungi virus.
- Antara gejala kronik:
- Muntah darah
- Salur pemakanan kembang (varices)
- Busung (Asites)

Cara jangkitan
- Hepatitis B dijangkiti melalui darah yang dijangkiti atau cairan tubuh seperti dari faraj, mulut dan sperma.
- Jangkitan berlaku melalui ibu yang dijangkiti kepada anak yang dikandungnya semasa proses:
- Kelahiran
- Pemindahan darah
- Melalui hubungan seks
- Penagih dadah yang berkongsi jarum suntikan

Glosari
- sirosis: Penyakit hati yang dicirikan oleh matinya sel-sel hati dan sebagainya (yang terjadi akibat jangkitan kronik, terlalu banyak minum minuman keras dan lain-lain)
- virus: Sejenis kuman yang lebih halus daripada bakteria yang boleh menyebabkan penyakit kepada manusia, haiwan atau tumbuhan.
- rembesan: Aliran atau titisan
- enzim: Bahan kimia yang terdapat di dalam benda hidup (tumbuhan, haiwan) yang menyebabkan perubahan kepada bahan kimia lain tetapi tidak pada dirinya sendiri.

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...