Hepatitis C: Fakta dan Perangkaan


Virus hepatitis boleh diklasifikasikan kepada lima jenis utama iaitu A, B, C, D dan E. Daripada lima jenis ini, hanya B dan C yang akan berkembang menjadi pe­nyakit kronik manakala A dan E secara umumnya akan terhenti atau pulih dengan sendiri (jangkitan hepatitis D hanya berlaku dalam kehadiran jangkitan hepatitis B).

Hepatitis bermaksud keradangan hati (hepar) dan virus hepatitis C (HCV) mempunyai kecenderungan yang amat tinggi untuk menyerang hepar.

Ia ditemui buat kali pertama pada 1989 oleh Micheal Houghton dan rakan sekerjanya di Chiron Corporation, California, Amerika Syarikat. Virus ini tergolong dalam keluarga Flavivirus. Kebiasaannya virus ini akan menyerang sel hepar.

Ia akan mereplikakan dirinya dan seterusnya menjangkiti sel bersebelahan di mana kitaran ini berlaku secara berterusan sehingga hati menjadi rosak atau berparut (diistilahkan sebagai sirosis hati).



Kini dianggarkan 185 juta pesakit dijangkiti HCV di seluruh dunia dan 350,000 kematian setiap tahun yang berpunca daripada komplikasi berkaitan dengan hati.

Daripada keseluruhan pesakit yang dijangkiti, hampir 20 hingga 25 peratus daripada mereka berupaya melawan virus berkenaan dengan sendirinya (melalui sistem imunisasi tubuh) manakala pesakit lain akan mendapat jangkitan kronik seperti yang dinyatakan di atas.

Hampir 25 peratus daripada jumlah pesakit yang menghidap jangkitan kronik akan mendapat parut hati dan seterusnya mengalami kegagalan fungsi hati dan barah hati.

Proses ini mungkin mengambil masa antara 20 hing­ga 30 tahun tetapi bagi sesetengah kes di mana pesakit turut mengalami jang­kitan lain seperti HIV atau hepatitis B, proses ini mung­kin berlaku dengan lebih pantas.

Hepatitis C disebarkan melalui jangkitan darah yang tercemar. Sebahagian daripada laluan jangkitan ini adalah seperti berikut:

-Menerima pemindahan organ atau darah daripada penderma sebelum 1994.

-Darah tercemar di tempat kerja (seperti pekerja dalam bidang penjagaan kesihatan).

-Menyuntik dadah secara haram atau berkongsi jarum dengan seseorang yang dijangkiti hepatitis C.

-Menjalani proses dialisis buah pinggang untuk jangka masa panjang.

-Melakukan hubungan seksual tanpa sebarang perlindungan dengan seseorang yang dijangkiti hepatitis C.

-Dilahirkan oleh ibu yang dijangkiti hepatitis C.

-Membuat cacah (tatu) atau akupunktur menggunakan jarum yang tidak dibasmi kuman dengan sempurna selepas digunakan pada orang lain (risiko ini adalah rendah sekiranya ia dilaksanakan oleh pengamal yang memiliki lesen mencacah atau lesen akupunktur).

-Berkongsi barangan peribadi seperti berus gigi dan pisau cukur dengan seseorang yang dijangkiti hepatitis C.

Virus ini kebiasaannya dapat dikesan tiga hingga tujuh hari selepas permulaan jangkitan manakala antibodi hanya dapat dikesan selepas lapan hingga 12 minggu jangkitan berlaku. Dalam tempoh ini, keba­nyakan pesakit akan mengalami simptom seperti selesema manakala sebahagian yang lain pula mungkin tidak mengalami sebarang simptom langsung.

Simptom yang biasa dialami adalah seperti jaundis (penyakit kekuningan), manakala simptom najis berwarna kelabu atau air kencing yang berwarna gelap akan timbul pada peringkat akhir jangkitan di mana hati sudah mengalami kerosakan yang teruk.

Bagaimanapun, bagi sesetengah kes (ini amat jarang berlaku), simptom ini mungkin akan muncul pada peringkat permulaan jangkitan. Buat masa ini tidak ada sebarang vaksin untuk merawat hepatitis C, oleh itu satu keperluan yang amat penting bagi kita untuk memberi perhatian kepada kaedah pencegahan (contohnya tidak berkongsi barangan persendirian seperti berus gigi dan pisau cukur).

Evolusi rawatan hepatitis C bermula sejak beberapa tahun lepas. Ya, hepatitis C boleh dirawati dengan menumpukan kepada usaha untuk menghentikan hati daripada terus mengalami kerosakan. Oleh itu, proses parutan yang berterusan dapat dihalang dan risiko untuk menjadi barah hati dapat dikurangkan.

Istilah yang biasa digunakan bagi proses penyembuhan ini ialah SVR24 (sustained virological response) yang bermakna ketiadaan virus enam bulan selepas rawatan. Pesakit yang menjalani rawatan sebelum ini dipantau selama hampir empat tahun dan 99 peratus daripada mereka masih dalam keadaan tanpa jangkitan virus dan diistilahkan sebagai sudah sembuh.

Tempoh rawatan berbeza-beza dari 24 minggu hingga kepada 48 minggu. Ubat-ubatan sedia ada seperti suntikan pegylated interferon dan ribavirin memerlukan tempoh rawatan antara 24 hingga 48 minggu dan rawatan ini bergantung kepada jenis genotype virus hepatitis C seseorang.

Bagaimanapun, rawatan ini hanya mempunyai kadar penyembuhan antara 15 hingga 75 peratus. Namun demikian, teknologi moden sudah menghasilkan ubat tanpa-interferon yang boleh diambil dalam bentuk tab­let dengan tempoh rawatan yang lebih pendek (12 minggu).

Menurut kajian klinikal, rawatan moden ini mampu memberikan kadar pen­yembuhan yang lebih tinggi iaitu antara 96 hingga 100 peratus dan mempamerkan kesan sampingan yang sa­ngat sedikit.

Sebahagian daripada ubat-ubatan ini sedang menanti kelulusan pemasaran sebelum ia boleh digunakan di Malaysia, manakala yang lain pula masih berada dalam fasa penyelidikan.

Secara keseluruhan, pel­bagai kajian dilaksanakan sejak virus ini ditemui pada 1989 sehinggalah kepada pencapaian kadar penyembuhan tinggi yang mampu kita nikmati kini. Dengan kemajuan teknologi yang semakin berkembang pesat, seseorang tidak akan diang­gap sebagai tidak siuman untuk memikirkan bahawa HCV boleh dihapuskan dalam masa terdekat seperti cacar air. Malah, isu sebenarnya ialah bilakah ianya akan terjadi.

* Artikel sumbangan Ketua Unit Gabungan Endoskopi, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Profesor Datuk Dr KL Goh.

http://www.hmetro.com.my/node/2947?m=1

Individu Lahir Sebelum 1989 Perlu Saringan Hepatitis

 
Kementerian Kesihatan menasihati rakyat Malaysia, khususnya yang lahir sebelum 1989, agar menjalani saringan penyakit hepatitis. Ini berikutan, bilangan kes baru terutama Hepatitis B dan C meningkat sekali ganda tahun lalu berbanding 2010, iaitu daripada 640 kes kepada 1,250 kes bagi Hepatitis B dan 724 kepada 1,047 untuk Hepatitis C.

Berikutan itu, orang ramai diminta mengambil kesempatan menjalani saringan percuma yang ditawar 20 hospital kerajaan di seluruh negara sempena kempen Hari Hepatitis Dunia 2012. Dianggarkan ada tiga hingga enam penghidap bagi kedua-dua jenis penyakit itu bagi setiap 100,000 penduduk dan 80 peratus daripada mereka berusia 25 hingga 55 tahun.

Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, walaupun Malaysia diisytihar Pertubuhan Kesihatan Sedunia mencapai matlamat mengawal Hepatitis B menerusi program vaksin untuk kanak-kanak yang dilancar pada 1989, mereka yang lahir sebelum itu mungkin menyumbang kepada peningkatannya sekarang. 

Beliau juga bimbang penyakit itu yang lebih mudah dijangkiti berbanding HIV dan dikenal pasti antara penyumbang kepada 1.4 juta penghidap barah hati di negara ini akan menjadi satu epidemik jika tiada tindakan diambil.

http://www.ammboi.com/2012/07/28/individu-lahir-sebelum-1989-perlu-saringan-hepatitis/

Saringan Penyakit Hepatitis B Semasa Mengandung

KENAPA?
Terdapat bukti yang baik mengatakan bahawa pengesanan awal HbsAg (antigen/virus) di kalangan ibu mengandung boleh mencegah jangkitan ini kepada bayi baru lahir. Vaksin Hepatitis B dan gabungannya dengan imunoglobulin hepatitis B (Hblg) didapati berkesan untuk mencegah kejadian jangkitan virus Hepatitis B (HVB) di kalangan bayi-bayi yang dilahirkan oleh ibu-ibu yang didapati HbsAg positif.

BILA?
Saringan akan dilakukan semasa ibu membuat lawatan kali pertama ke klinik ibu mengandung. Jika ujian itu didapati negatif, tetapi ibu merasa kurang sihat yang menandakan ia berkemungkinan dijangkiti vius Heptitis B (HBV) terutama bagi mereka yang berisiko tinggi, maka ujian perlu dilakukan sekali kali lagi semasa 3 bulan terakhir kehamilan.
Mengesan jangkitan virus Hepatitis B sama ada yang akut atau kronik dianggap penting untuk mencegah perebakan kuman virus kepada orang lain selain dari bayi. Individu-individu yang dikesan boleh diberikan nasihat tentang bagaimana hendak mencegah perebakan kuman virus kepada orang lain terutama kepada yang disayangi.
Kita tidak perlu merasa cemas apabila seseorang itu didapati positif ujian HBVnya. Ini kerana kebanyakan pesakit akan menjalani kehidupan yang sihat seperti biasa dengan bantuan dan nasihat yang baik. Ia mungkin melibatkan rawatan dan penjagaan kesihatan yang berpanjangan tetapi ianya berbaloi.
DI MANA?
Objektif utama saringan adalah untuk mengurangkan kemungkinan berlakunya perebakan kuman Hepatitis B (HBV) kepada bayi dan orang lain. Dengan ini, ia dapat mengurangkan kejadian atau prevalens jangkitan kuman virus Hepatitis B. Ia merupakan satu ujian yang mudah yang boleh didapati di semua kemudahan perubatan dan kesihatan sama ada milik kerajaan atau swasta. Ianya didapati lebih berkesan jika dilakukan sebelum seseorang itu bercadang untuk memulakan sebuah keluarga. Imunisasi ini sentiasa ada, selamat dan berkesan untuk diberi kepada mereka yang belum lagi membentuk ketahanan badan terhadap kuman.

http://e-kesihatanmalaysia.blogspot.com/2012/01/hepatitis-b-dan-kehamilan.html
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...