Kesan Pelalian Hepatitis B

 
 Pada 2006, saya disahkan hamil, tetapi luar rahim. Tiub sebelah kiri saya sudah dibuang dan hingga kini belum hamil. Adakah saya perlu mendapatkan pelalian terbabit dan apa kesannya jika saya hamil dalam masa terdekat ini?

YAN,
Ipoh, Perak.




PENYAKIT hepatitis B boleh menyebabkan penyakit hepatitis kronik, sirosis hati dan akhirnya kegagalan hati. Penyakit ini berjangkit melalui bendalir badan (darah, mukus dan seumpamanya) daripada seseorang kepada seseorang yang lain.

Ia lebih berisiko kepada mereka yang tugasnya mengendalikan bendalir badan atau peralatan tajam seperti jarum seperti kakitangan kesihatan atau perubatan dan golongan ini disarankan mengambil suntikan pelalian sebanyak tiga dos mengikut jadual untuk melindungi mereka.

Sungguhpun begitu, kita semua digalakkan mengambil suntikan perlindungan ini bagi mengelak penyakit hepatitis dan komplikasi berkaitan yang dinyatakan di atas.

Untuk makluman, penyakit hepatitis B jauh lebih mudah berjangkit berbanding HIV. Hepatitis B juga boleh menyebabkan kanser hati (HCC atau kanser hepatoselular).

Program suntikan pelalian hepatitis B di Malaysia pula bermula pada 1989 ke atas bayi baru lahir dan disusuli sehingga mencukupi tiga suntikan. Dengan usia anda 26 tahun, suntikan pelali­an itu sebenarnya sudah ada ditawarkan di Malaysia, tetapi belum secara menyeluruh atau percuma mengikut program imunisasi kanak-kanak.

Ini juga bermakna berkemungkinan anda dikelilingi oleh mereka yang seusia atau lebih berusia daripada anda sama ada seperti anda (tidak imun terhadap hepatitis B), sudah me­ngambil suntikan hepatitis B atau sebaliknya menjadi pembawa hepatitis B sama ada mereka ketahui atau tidak. Maka, eloklah anda mengam­bil suntikan pelalian ini yang cuma mengambil masa keseluruhan lima hingga enam bulan sahaja.

Sementara itu, eloklah kehamilan dielakkan walaupun bahan vaksin ini tidak aktif kerana tidak mengandungi partikel virus hidup. Sukar untuk menjawab persoalan sama ada ia memberi kesan terhadap kehamilan kerana sukar untuk mendapatkan wanita hamil yang bersetuju menjadi bahan kajian lebih-lebih lagi apabila mengetahui kajian itu dijalankan untuk mengetahui sama ada suntikan ini boleh membabitkan kesan negatif kepada janinnya.

Anda boleh memilih untuk mengambilnya selepas kelahiran nanti, tetapi memandangkan anda mung­kin mengalami masalah kesuburan, tempoh rawatan kesuburan (dan tempoh kehamilan serta penyusuan badan) mungkin akan tambah melewatkan masa anda dilindungi.

Selain itu, lebih muda usia seseorang, lebih elok tindak balas antibodi yang dihasil­kan terhadap suntikan pelalian (ia boleh diketahui melalui ujian darah satu hingga tiga bulan selepas selesai mengambil rangkaian suntikan terbabit).

Terdapat dua sumber bahan suntikan, sama ada dari plasma (darah) atau berasal daripada sumber yis. Bagaimanapun, memandangkan ujian itu sudah anda jalani lima tahun lalu, eloklah anda mengulangi ujian ini (lazimnya ujian darah HBs antigen dan anti-HBs) untuk mengetahui status terkini anda sama ada:

- anda masih dilindungi;

- sekiranya sebenarnya anda sudah dilindungi tetapi mempunyai paras antibodi yang rendah, suntikan penggalak eloklah diambil;

- sekiranya anda sudah dijangkiti virus hepatitis B, suntikan pelalian tidak lagi memberikan manfaat, walaupun jika diambil juga ia tidak mendatangkan mudarat.

Di samping itu, bagi ibu hamil yang mempunyai status ‘menjangkiti’ (HbeAg positif), bayi mereka akan diberikan suntikan immunoglobulin hepatitis B bersama-sama suntikan pelalian hepatitis B yang dijangka dapat memberi perlindungan sehingga 95 peratus.

Dengan pengetahuan saya yang terhad, anda juga digalakkan bertanya mengenai hepatitis B dengan lebih lanjut kepada pakar perubatan, lebih-lebih lagi pakar perubatan hepatologi.


http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/KesanpelalianhepatitisB//Article/article_print
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...