TUMPAT – Penyakit Hepatitis di negeri ini masih terkawal meskipun tiga tahun kebelakangan ini bermula 2011 mengalami peningkatan ketara terutamanya Hepatitis B dan C.

Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Wan Mansor Hamzah berkata, walaupun penyakit berjangkit itu terkawal tetapi pihaknya memandang serius dengan meningkatkan kesedaran dan kempen dalam kalangan masyarakat kerana ia boleh mengakibatkan kematian.

“Penularan jangkitan Hepatitis B dan C adalah melalui darah tercemar, ibu kepada anak dan hubungan seksual.

“Hepatitis B dan C boleh dijangkiti melalui transfusi darah, kongsi jarum suntikan dan secara 'vertical' iaitu ibu kepada anak,” katanya selepas merasmikan Hari Hepatitis Sedunia Peringkat Negeri Kelantan di Klinik Kesihatan Tumpat, semalam.

Hadir sama, Pakar Perunding Perubatan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HPRZ II), Datuk Rosemi Salleh dan Pegawai Kesihatan Tumpat, Dr Latifah Dahalan.

Dr Wan Mansor berkata, darah tercemar ialah darah didermakan individu yang tidak menyedari mereka mempunyai penyakit berkaitan Hepatitis.

“Bagaimanapun pihak kami membuat saringan terlebih dahulu dan mana-mana darah yang mengandungi penyakit tersebut akan dilupuskan sebagai langkah pencegahan.

“Begitu juga dengan pelanggan yang mendapatkan rawatan terapi metadon, di mana kita sentiasa mengingatkan mereka supaya tidak berkongsi jarum suntikan,” katanya.

Menurutnya, peningkatan paling ketara ialah Hepatitis C bermula 46 kes pada 2011 dan meningkat 130 kes  pada 2012, seterusnya kepada 171 sehingga 20 Oktober tahun ini.

“Kebanyakan mereka yang menghidap penyakit ini terdiri daripada golongan berusia 30 tahun ke atas dan hanya empat kes sahaja melibatkan rakyat yang lahir selepas 1989 apabila kerajaan memperkenalkan Program Pelalian Hepatitis B,” katanya.

Hepatitis B turut menunjukkan peningkatan bermula 87 kes pada 2011, bertambah kepada 92 kes pada 2012 dan 166 kes bermula Januari sehingga 20 Oktober  tahun ini.

Hepatitis A pula mengalami penurunan kes apabila sepanjang tempoh sama bermula 37 kes pada 2011, berkurang kepada 22 kes pada 2012, seterusnya empat kes tahun ini setakat 20 Oktober.

http://www.sinarharian.com.my/mobile/edisi/kelantan/hepatitis-masih-terkawal-di-kelantan-1.215017