KUALA LUMPUR, 31 Okt (Bernama) -- Statistik oleh pihak berkuasa kesihatan
dunia mencatatkan bahawa tiga hingga empat bilion penduduk dunia dijangkiti
Hepatitis C dengan 170 juta pesakit berada pada tahap kronik.
Sebagai ancaman terbaharu dunia, kematian akibat hepatitis C mencecah
350,000 orang setiap tahun.
Tidakkah anda berasa gempar mengenai keadaan ini?
Dianggarkan 1.5 peratus polulasi di Malaysia adalah pesakit Hepatitis C,
kata Pakar Perubatan Hepatologi Hospital Selayang, Dr Mohd Shamsul Amri.
Beliau berkata, seseorang yang tidak sedar bahawa dia menghidap hepatitis C
juga berkemungkinan menjangkitkan penyakit itu kepada orang lain tanpa
pengetahuannya.
HEPATITIS C TANPA SIMPTOM
Tidak seperti kebanyakan penyakit lain, Hepatitis C adalah jangkitan yang
sukar dikesan oleh pesakit sendiri kerana ia selalu menyerang tanpa simptom.
Dr Mohd Shamsul berkata, hepatitis C sering menerima gelaran sebagai
pembunuh senyap kerana ramai pesakit tidak mengetahui diri mereka dijangkiti
sehingga bertahun-bertahun malahan berpuluh-puluh tahun lamanya.
Apa yang menyedihkan, pembawa virus tidak sedar mereka ialah pembawa
sehingga mendapat tanda serangan virus pada tahap kritikal, katanya.
Tidak kurang juga pesakit Hepatitis C yang hanya menyedari tubuh mereka
menjadi habitat virus selepas tahap kesihatan bertambah teruk akibat kegagalan
hati atau pertumbuhan barah hati.
KONGSI JARUM SUNTIKAN PUNCA UTAMA
Cara jangkitan virus Hepatitis C lebih kurang sama seperti cara jangkitan
HIV. Sebelum tahun 1994 sebelum adanya saringan untuk virus Hepatitis C,
jangkitan boleh berlaku menerusi perkongsian jarum suntikan
dan pemindahan darah.
Lebih 60 peratus punca jangkitan HCV ialah melalui perkongsian jarum
suntikan, kata Dr Mohd Shamsul.
Mereka yang pernah atau sedang menjalani rawatan hemodialisis, bertindik dan
melukis tatu, rawatan akupunktur dan bercukur kepala juga boleh mendedahkan
seseorang kepada hepatitis C.
BARAH HATI
Jangkitan virus Hepatitis C mengambil masa 30 hingga 50 tahun sebelum
merosakkan hati sepenuhnya dan jangkitan itu melalui beberapa peringkat bermula
daripada jangkitan, dengan pesakit tidak merasakan perubahan.
Peringkat kedua iaitu jangkitan kronik seperti sirosis, kegagalan fungsi
hati dan berakhir dengan barah hati yang sukar dirawat.
Dalam sesetengah kes hati mampu menghapuskan virus ini dan kesihatan kembali
pulih seperti sediakal.
Namun, dalam 85 peratus kes, hepatitis C adalah satu keadaaan kronik yang
terpaksa dilalui sepanjang hayat, kata Dr Mohd Shamsul.
RAWATAN
Selain faktor genetik, soal usia dan metabolisme turut mempengaruhi peluang
penyembuhan seseorang pesakit Hepatitis C.
Kejayaan rawatan juga bergantung kepada sejauh mana kerosakan hati.
Dr Mohd Shamsul berkata walaupun sehingga kini masih tiada vaksin untuk
Hepatitis C, peluang pesakit untuk sembuh lebih tinggi jika mendapat rawatan
awal.
Ubat yang diberikan kepada pesakit bertujuan menghentikan tindakan virus. Ia
boleh diambil melalui suntikan setiap minggu dan ubat makan selama enam atau 12
bulan bergantung kepada jenis Hepatitis C.
KESEDARAN ORANG RAMAI
Kesedaran orang ramai untuk memahami mengenai penyakit hepatitis C perlu
dipertingkatkan.
Dr Mohd Shamsul menyarankan mereka yang berisiko penyakit ini, membuat
pemeriksaan darah untuk mengenalpasti antibodi Hepatitis C. Pemeriksaan darah
boleh dilakukan di hospital kerajaan atau swasta.
Walaupun kemajuan farmaseutikal dapat menawarkan lebih peluang kepada
pesakit yang menderita Hepatitis C, namun usaha itu perlu dilakukan selari
dengan pengesanan awal bagi memastikan kejayaan berganda.
Sambutan Hari Hepatitis Sedunia disambut pada 28 Julai, bertemakan ''It''s
Closer than You Think''.
-- BERNAMA
https://my.news.yahoo.com/saringan-darah-penting-untuk-mengesan-hepatitis-054459756.html