SHAHRIZAT ABDUL JALIL bersama Dr. Rosmawati Mohamed
menunjukkan alat pengesan darah selepas membuat ujian virus Hepatitis C
dalam Majlis Pelancaran Komitmen untuk Mengelakkan Penyakit Virus
Hepatitis C di Petaling Jaya, semalam. UTUSAN/ Farid Janudin
PETALING JAYA 14 Mei – Tiga daripada empat rakyat negara ini dikesan dijangkiti penyakit Hepatitis C setiap hari dan kini bilangan pesakit itu mencecah sehingga 451,000 orang.
Penasihat Pembangunan Keusahawanan dan Ikhtisas Wanita di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, kajian oleh beberapa pakar perubatan mendapati Hepatitis C telah menular di negara ini sejak beberapa tahun lalu namun tahap kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai penyakit itu masih rendah.
Katanya, ramai yang mempunyai salah anggapan terhadap pesakit Hepatitis C yang menyangka penyakit itu mudah dijangkiti seperti HIV.
“Lebih menyedihkan apabila ada sesetengah pihak yang meminggirkan golongan pesakit Hepatitis C dalam menjalankan aktiviti seharian hingga menyebabkan mereka tiada semangat untuk meneruskan hidup.
“Justeru, saya menyokong usaha yang dijalankan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO), My Commitment To Cure Hepatitis C yang dianggotai oleh lapan pakar perubatan tempatan yang berusaha mewujudkan kesedaran mengenai penyakit ini dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Siri Jelajah dan Pameran Kesedaran Kesihatan anjuran NGO tersebut di sini hari ini.
NGO yang dianggotai oleh enam pakar perubatan dari Kementerian Kesihatan dan dua ahli akademik tempatan akan menjalankan siri penjelajahan kesedaran mengenai Hepatitis C di sekitar Lembah Klang bermula hari ini hingga Ahad.
Sementara itu seorang pesakit Hepatitis C, Nor Hilmi Izal Hashim, 36, memberitahu, beliau disahkan menghidap penyakit itu ketika berusia 33 tahun dan terpaksa bertemu dengan enam doktor sebelum kesnya itu diambil alih oleh Penasihat Hepatologist Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof. Dr. Rosmawati Mohamed.
Katanya, beliau baru selesai menjalani rawatan pertama penyakit itu melibatkan pemakanan ubat dan suntikan selama dua tahun yang menelan belanja mencecah ratusan ribu.
“Apabila saya disahkan menghidap penyakit ini, terdapat beberapa doktor yang menyatakan saya hanya mampu bertahan hingga 20 tahun lagi sahaja manakala rakan-rakan pula menyangka saya terlibat dengan gejala aktiviti tidak sihat seperti pengambilan dadah dan seks bebas.
“Menjelaskan kepada semua pihak adalah sesuatu perkara yang sangat sukar namun saya perlu kuat dan tabahkan diri untuk meneruskan rawatan supaya kekal sihat,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/penghidap-hepatitis-c-8232-kini-cecah-451-000-1.91871#sthash.sArswvfa.dpuf