Rozita Che Wan Masuk Hospital Menghidap Hepatitis

PETALING JAYA 9 Jun, 2011 : Pelakon Rozita Che Wan, 38, dimasukkan ke Pusat Perubatan Sime Darby Subang Jaya, dekat sini kerana dipercayai menghidap hepatitis.

Sumber memberitahu mStar Online, Rozita pada mulanya mendapatkan rawatan di pusat perubatan itu pada Isnin lalu selepas berasa sakit kepala dan akhirnya terpaksa ditahan untuk pemeriksaan.

“Doktor yang membuat pemeriksaan mengatakan Rozita menghidap hepatitis dan dia perlu ditahan untuk pemantauan,” kata sumber berkenaan.

Jelas sumber itu lagi, Rozita enggan menerima sebarang pelawat kerana mahu berehat melainkan ahli keluarga terdekat sahaja yang dibenarkan berhubung dengannya.

Akibat kejadian itu, beberapa penggambaran drama yang melibatkan Rozita terpaksa ditangguhkan sehinggalah pelakon itu benar-benar sembuh.

via Mstar Online
Rozita Che Wan

Bilangan Penghidap Hepatitis Meningkat Sekali Ganda

Image result for hepatitis

Diterbitkan: Jumaat, 27 Julai 2012 12:00 AM

PETALING JAYA: Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai pada Jumaat menasihati rakyat Malaysia, khususnya yang lahir sebelum 1989, agar menjalani saringan penyakit hepatitis.

Ini kerana kata beliau, bilangan kes baru terutama Hepatitis B dan C meningkat sekali ganda tahun lepas berbanding 2010, iaitu dari 640 kepada 1,250 bagi Hepatitis B dan 724 kepada 1,047 untuk Hepatitis C.

Sehubungan itu orang ramai harus mengambil kesempatan menjalani saringan percuma yang ditawar 20 hospital di seluruh negara sempena kempen Hari Hepatitis Dunia 2012 ini.

"Ramai yang fikir hepatitis sudah tidak wujud tetapi hakikatnya ramai yang tidak mengambil vaksin. Dianggarkan terdapat antara tiga hingga enam penghidap bagi kedua-dua jenis penyakit itu bagi setiap 100,000 penduduk dan 80 peratus ialah mereka yang berusia antara 25 dan 55 tahun," katanya.

Liow berkata walaupun Malaysia diisytihar Pertubuhan Kesihatan Sedunia telah mencapai matlamat dalam mengawal Hepatitis B menerusi program vaksin untuk kanak-kanak yang dilancar pada 1989, mereka yang lahir sebelum tahun itu mungkin menyumbang kepada peningkatan kes sekarang.

Beliau juga bimbang penyakit itu yang lebih mudah dijangkiti berbanding HIV dan dikenal pasti antara penyumbang kepada 1.4 juta penghidap barah hati di negara ini akan menjadi satu epidemik jika tiada tindakan diambil.

"Penyakit maut ini berada di luar radar pengawasan kita buat sekian lama dan diabaikan sekalipun notifikasi jangkitan hepatitis adalah mandatori mengikut Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit," katanya.

Kempen yang bermula Jumaat hingga Ahad di pusat beli-belah One Utama itu bertema "Its Closer Than You Think' dan antara lain menumpukan usaha meningkatkan kesedaran umum terhadap penyakit tersebut. - BERNAMA

http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2012/07/27/bilangan-penghidap-hepatitis-meningkat-sekali-ganda-tahun-lepas--liow/
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...