Bahaya Hati Berlemak

Feb 26, '08 12:58 AM
for everyone

Category:Other
Makanan yang berlemak yang sedap kan???....
betul tak kawan-kawan!!!


Bahaya hati berlemak

TAHUKAH anda selain masalah jantung mengandungi lemak yang boleh menyebabkan tubuh terdedah kepada pelbagai penyakit, ada organ lain yang tidak terkecuali berdepan masalah yang sama? Organ terbesar dalam tubuh yang mempunyai pelbagai fungsi penting yang dimaksudkan ialah hati.

Hati berlemak atau steatosis adalah satu keadaan yang mana ada lemak berlebihan pada hati. Di Amerika Syarikat, dianggarkan 25 peratus penduduknya menghadapi masalah ini dan ia lebih kerap ditemui di kalangan wanita.

Pakar Perunding Gastroenterologi, Jabatan Gastroenterologi, Hospital Kuala Terengganu (HKT), Dr Ahmad Shukri Mohd Salleh berkata, meskipun hati berlemak bukanlah sejenis penyakit, ia adalah petanda bahawa seseorang menghadapi masalah kesihatan.

Beliau berkata, keadaan ini sekiranya dibiarkan tanpa rawatan boleh menyebabkan penghidap menghadapi komplikasi.

"Hati berlemak yang tidak dirawat boleh mendedahkan individu terbabit menghadapi masalah hati atau penyakit lain yang lebih serius," katanya.

Hati adalah organ yang berfungsi untuk menukar lemak yang dimakan kepada jenis lemak yang digunakan oleh tubuh. Trigliserid pula antara bentuk lemak yang disimpan dalam tubuh dan digunakan untuk tenaga serta pembentukan sel baru.

Bagaimanapun, pemecahan lemak ini boleh terganggu oleh minuman keras, kekurangan zat makanan, kehamilan atau keracunan. Dalam kes hati berlemak, jumlah lemak yang kebanyakannya terdiri daripada trigliserid ada dalam sel hati.

Dr Shukri berkata, hati berlemak tidak menyebabkan penghidapnya berasa sakit dan keadaan yang tidak disedari ini berlarutan dalam jangka masa panjang.

Hati berlemak boleh menyebabkan radang pada sel hati yang dikenali sebagai steatohepatitis. Ia kerap dikaitkan dengan pengambilan minuman keras. Pengambilan minuman keras sebanyak 10 auns seminggu sudah memadai untuk mendedahkan seseorang itu mengalami masalah hati berlemak.

Namun keadaan yang sama boleh boleh berlaku tanpa mengaitkannya dengan minuman keras. Keadaan ini dikenali sebagai non-alcoholic steatohepatitis (NASH). Dianggarkan 15 hingga 50 peratus pesakit NASH boleh menghidap fibrosis atau sirosis hati dalam jangka masa yang lama.

Di Amerika Syarikat, sebahagian besar masalah hati berlemak berpunca daripada tabiat meminum minuman keras. Lemak masuk ke dalam hati melalui usus dan tisu. Dalam keadaan normal, lemak daripada makanan diproses oleh hati dan tisu lain.

Jika lemak yang diproses ini berlebihan daripada apa yang diperlukan dalam tubuh, ia akan disimpan. Di kalangan individu yang obes, lemak akan lebih banyak terbentuk dalam sel hati.

Beliau berkata, dalam kes yang serius saiz hati meningkat tiga kali ganda daripada saiz normal.

"Hati berlemak adalah satu keadaan yang mana berlakunya kadar penyerapan lemak yang begitu tinggi dalam hati. Ini disebabkan oleh tabiat pengambilan minuman keras secara berlebihan, penyakit kencing manis atau pertambahan berat badan," katanya.

Selain itu, penyakit seperti batuk kering, diet yang tidak seimbang, pembedahan pintasan usus kecil untuk obesiti dan sesetengah ubat seperti kortikosteroid menjadi punca berlakunya hati berlemak.

Beliau berkata, sukar untuk dijelaskan bagaimana penyerapan lemak pada hati berlaku. "Pesakit yang mempunyai hati berlemak biasanya menunjukkan pertambahan lemak yang mengakibatkan berat hati meningkat sebanyak lima peratus. Pemindahan lemak daripada bahagian tubuh lain atau peningkatan ekstrak lemak dalam hati akan melalui usus.

"Kadar kemampuan hati untuk memecah dan mengumuh lemak ialah punca kemungkinan berlakunya pengumpulan lemak dalam hati," katanya.

Berbeza dengan jantung, mengambil makanan yang berlemak tidak mempunyai kesan secara langsung terhadap pengumpulan lemak pada hati.
Malah, ada pesakit yang mempunyai paras lemak yang normal dalam darah.

Beberapa kajian mendapati hati berlemak adalah antara sebab yang menurunkan enzim hati yang dikenal pasti pada ujian darah secara rutin.

Enzi mini dikeluarkan oleh sel hati apabila berlaku radang pada sel berkenaan.

FAKTA: Gejala hati berlemak

Kebanyakan pesakit hati berlemak tidak mengadu mereka menghadapi masalah ini. Namun, kajian menunjukkan 50 peratus daripada golongan ini mengadu:

Letih

Sakit atau tidak selesa pada bahagian atas abdomen.

Sekiranya keadaan hati berlarutan daripada steatohepatitis kepada fibrosis dan sirosis, pesakit akan mengalami masalah:

· Busung
· Pembekakan hati
· Demam
· Jaundis

Untuk mengetahui sama ada seseorang itu menghadapi masalah hati berlemak, pesakit perlu menjalani:

Pemeriksaan imbasan ultra atau imbasan CT. Bagi melihat lebih jelas perubahan pada hati akibat pengumpulan lemak, sedikit cebisan hati akan diambil melalui kaedah biopsi hati.

Ujian darah juga perlu dilakukan bagi mengetahui paras kolestrol, trigliserid dan fungsi hati serta untuk mengetahui lain-lain punca radang hati.

Fungsi hati

· Menyimpan tenaga dalam bentuk gula atau glukos
· Menyimpan vitamin, zat besi dan bahan mineral lain.
· Sebagai kilang membuat protein termasuklah faktor pembekuan darah.
· Memproses sel darah merah yang sudah digunakan.
· Membunuh bakteria yang masuk ke dalam tubuh melalui usus kecil
· Memecahkan ubat-ubatan dan alkohol
· Menghasilkan cecair hempedu untuk proses penghadaman makanan.

Rawatan

Meskipun hati berlemak bukan sejenis penyakit, tetapi keadaan ini perlu dirawat.

Rawatan ini bergantung kepada puncanya. Sebagai contoh, sekiranya pesakit seorang individu yang banyak mengambil minuman keras, dia perlu mengurangkan pengambilan berkenaan.

Jika pesakit adalah seseorang individu yang obes, dia perlu mengawal pemakan dan berat badannya.

Individu berisiko menghidap hati berlemak

· Mereka yang banyak minum minuman keras.
· Kekurangan pengambilan makanan berzat yang seimbang.
· Obesiti.
· Pesakit diabetes.
· Sindrom Reye di kalangan kanak-kanak.
· Kehamilan.
· Ubat-ubatan yang diambil secara berlebihan.

Tip merendahkan risiko hati berlemak

· Jangan minum minuman keras. Minuman keras boleh menurunkan kadar metabolisme dan pengumuhan lemak.

· Amalan pemakanan yang seimbang. Obesiti adalah punca paling kerap hati berlemak. Golongan ini biasanya mengalami masalah kesihatan seperti tekanan darah yang tinggi, angin ahmar, kencing manis dan sakit jantung.

· Mereka yang menahan lapar, kekurangan protein yang menyebabkan mereka kekurangan zat pemakanan diperlukan tubuh boleh menyebabkan hati berlemak.

· Melakukan senaman dan mengawal pengambilan makanan berlemak.
http://shuhmy.multiply.com/reviews/item/105?&show_interstitial=1&u=%2Freviews%2Fitem

1 comment:

  1. terjumpa info ni, juga pasal hati… sharing is caring :) - Fungsi Organ Hati

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...