Bahaya Penyakit Hepatitis Menyebabkan Sirosis dan Kanser Hati



Oleh: AIZAWATI AHMAD

HEPATITIS merupakan antara penyakit yang sering dihidapi oleh masyarakat di Malaysia walaupun jumlah pesakit pada keseluruhannya dilaporkan telah menurun.

Berdasarkan statistik oleh hospital kerajaan, bilangan pesakit ini telah menurun sebanyak 2,450 kepada 1,581 dalam tempoh empat tahun dari 1992 hingga 1996.

Malah kes hepatitis B menunjukkan pengurangan yang mendadak iaitu daripada 1,151 kepada 307 pada tahun 1988 hingga 1997.

Terdapat tiga jenis hepatitis yang kerap dihidapi oleh pesakit iaitu hepatitis A, hepatitis B dan hepatitis C.

Selain tiga jenis penyakit berkenaan, terdapat juga hepatitis yang dikategorikan sebagai hepatitis D, hepatitis E dan hepatitis G.

Hepatitis A merupakan sejenis penyakit yang menyerang secara mendadak tetapi tidak membabitkan kesan dalam tempoh jangka masa panjang.

Berdasarkan statistik, sebanyak 1.57 daripada 100,000 orang di negara ini dijangkiti hepatitis A. Bagaimanapun, insiden sebenar mungkin melibatkan jumlah tiga hingga 10 kali lebih besar.

Pengambilan makanan atau minuman yang mengandungi virus hepatitis A akan menyebabkan pesakit diserang penyakit itu.

Biasanya bayi dan kanak-kanak yang dijangkiti hepatitis A tidak menunjukkan tanda-tanda awal menghidap penyakit tersebut.

Bagaimanapun, orang dewasa lebih terdedah kepada bahaya penyakit itu kerana mereka turut berisiko menghidap kerosakan hati.

Cara-cara mengelak daripada dijangkiti hepatitis A:

lElakkan daripada mengambil makanan mentah, siput tidak cukup masak, salad dan sayur-sayuran mentah, minum air tidak bersih, ketulan ais atau susu yang tidak dipasteur.

* Meningkatkan tahap kebersihan diri.

* Melakukan pemvaksinan terlebih dahulu sebelum pergi ke kawasan yang berisiko tinggi.

Individu yang terdedah kepada penyakit tersebut ialah pelancong yang berkunjung ke kawasan wabak, anggota tentera, penagih dadah yang menggunakan suntikan, pekerja kesihatan, lelaki homoseksual dan biseksual.

Untuk mengatasi hepatitis A anda perlu menitikberatkan penjagaan kebersihan bekalan air dan kebersihan diri.

Sementara itu, lebih kurang 50 juta kes baru membabitkan hepatitis B dilaporkan pada setiap tahun dengan 1.5 juta terkorban akibat komplikasi yang melibatkan sirosis (penyakit hati) dan barah hati.

Seperti mana hepatitis A, insiden hepatitis B di negara ini telah merosot dari tahun ke tahun.

Bagaimanapun situasi tersebut berbeza di peringkat antarabangsa di mana seramai 2,000 juta pesakit telah dijangkiti virus manakala jumlah pembawa hepatitis B pula dilaporkan seramai 350 juta di seluruh dunia. Bilangan tersebut mencecah kepada 400 juta pada tahun 2000.

Tidak seperti hepatitis A, hepatitis B akan menyebabkan penyakit hati yang kronik seperti hepatitis kronik, sirosis dan barah hati.

Lebih kurang dua hingga 10 peratus orang dewasa dan lebih 90 peratus kanak-kanak di bawah usia lima tahun yang dijangkiti virus hepatitis B (HBV) tidak bebas daripada HBV dalam tempoh enam bulan dan mereka dianggap sebagai pembawa HBV.

Untuk pengetahuan umum HBV amat mudah dijangkiti jika dibandingkan dengan virus AIDS.

Penyakit itu boleh disebarkan melalui:

* Ibu kepada anaknya yang baru lahir

* Hubungan seksual

* Pemindahan darah (sebelum darah berkenaan diperiksa sama ada mengandungi hepatitis B).

* Jarum yang tercemar dan perkongsian pisau pencukur ataupun berus gigi.

Anda boleh mengelakkan daripada dijangkiti hepatitis B dengan cara:

* Tidak berkongsi jarum, pisau pencukur atau berus gigi

* Mengamalkan hubungan seks selamat

* Mendapatkan suntikan vaksin sekiranya kerja anda melibatkan penggunaan alat perubatan atau salah seorang ahli dijangkiti hepatitis B.

Selain hepatitis A dan B, hepatitis C boleh menyebabkan penyakit hati yang kronik dan lebih 90 peratus pesakit yang telah dijangkiti virus hepatitis C (HCV) terdedah kepada penyakit berkenaan.

Dianggarkan 175,000 kes baru berlaku di Amerika Syarikat dan Eropah manakala di Jepun pula jumlahnya adalah dua kali ganda daripada bilangan tersebut.

Sementara di Malaysia pula, laporan mengenai hepatitis C ialah sebanyak 0.16 daripada 100,000 populasi yang telah dijangkiti virus tersebut pada tahun 1996.

Semua hospital kerajaan telah mula membuat ujian darah untuk antibodi hepatitis C (anti-C) sejak September 1994.

Pada tahun 1995, hanya 0.27 peratus penderma darah yang telah diuji di Hospital Kuala Lumpur (HKL) mendapati darah mereka mengandungi anti-C positif.

Seperti mana hepatitis B, anda boleh mengelak daripada dijangkiti HCV dengan tidak berkongsi pisau pencukur, jarum, berus gigi dan mengamalkan hubungan seks selamat.

Buat masa ini, masih tidak ada vaksin yang ditemui untuk mengubati hepatitis C.

Memandangkan penyakit hepatitis berupaya mendedahkan anda kepada penyakit barah hati yang kronik, adalah amat penting untuk anda mengetahui serba sedikit mengenai penyakit berkenaan.

Penyakit barah hati termasuk dalam senarai 10 jenis barah yang kerap berlaku di kalangan pesakit negara ini dan ia lebih ramai dihidapi oleh kaum lelaki berbanding wanita.

Risiko utama penghidap barah hati ialah mereka akan berhadapan dengan penyakit sirosis dan antara punca utamanya hepatitis B.

Barah hati merupakan penyakit yang sukar dikesan pada peringkat awal kerana tanda-tanda penyakit itu tidak jelas.

Tanda-tanda biasa yang pesakit akan hadapi ialah:

* Hilang selera makan

* Penurunan berat badan

* Keletihan

* Berasa sakit atau tidak selesa pada bahagian atas abdomen (pada bahagian hati)

* Hati akan membengkak dan lembut

* Penyakit kuning

* Bendalir berkumpul di abdomen

Barah hati boleh diubati sekiranya pesakit mendapatkan rawatan awal, malangnya lebih 80 peratus pesakit di Malaysia lewat membuat pemeriksaan.

Rawatan akan dibuat bergantung kepada keadaan pesakit dan juga tahap ketumbuhan tersebut.

Antara rawatan yang dimaksudkan termasuk suntikan, cryosurgery, pemulihan hati, kimoterapi dan pemindahan hati.

http://groups.yahoo.com/group/SurauKampung/message/8340

1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...