Virus Hepatitis A & E


Ia mengambil masa 15 hingga 40 hari untuk menjadi penyakit hepatitis A selepas mangsa dijangkiti virus tersebut. Tidak semua pesakit berasa sakit setelah dijangkiti hepatitis A. Sebahagian dewasa yang dijangkiti akan berasa sakit dan tidak sihat setelah dua minggu dijangkiti (kadangkala lebih). Kebanyakan kanak-kanak menunjukkan tanda-tanda dan gejala selepas dijangkiti. Walaubagaimanapun, pesakit yang tidak menunjukkan gejala masih boleh menjangkiti orang lain. Virus hepatitis A wujud dalam najis individu yang dijangkiti dalam masa dua minggu dan sehingga dua minggu selepas gejala bermula.

Antara gejala jangkitan adalah: demam kuning, demam, hilang selera makan, sakit perut, loya, muntah, cirit-birit, sakit kepala, mata menjadi kuning, kelesuan, air kencing kotor & najis pucat.

Apabila virus memasuki badan, ianya mengambil masa kira-kira dua minggu (dipanggil tempoh inkubasi) sebelum menyebabkan masalah kesihatan. Biasanya individu dijangkiti juga mengambil masa kira-kira dua minggu untuk pulih semula. Sehingga kini, Malaysia hanya mempunyai kes virus Hepatitis A (HAV) kerana jangkitan virus Hepatitis E (HEV) hanya dilaporkan berlaku di India dan Afrika. Walaupun gejala jangkitan HAV dan HEV dianggap lebih ‘ringan’ berbanding virus Hepatitis B dan C, wanita hamil yang mendapat jangkitan HEV menghadapi risiko paling tinggi menemui maut (antara 15 hingga 25 peratus).

Hepatitis A boleh merebak melalui najis, makanan dan minuman yang tercemar (disebarkan penyedia makanan yang telah dijangkiti atau daripada makanan mentah) atau melalui sentuhan, seperti membabitkan alat keperluan harian dan permainan di pusat jagaan kanak-kanak. Malah, ada individu yang dijangkiti melalui darah yang tercemar (pemindahan darah atau perkongsian jarum suntikan) tetapi jangkitan melalui cara ini jarang berlaku. Kanak-kanak yang dijangkiti HAV biasanya mengalami penyakit demam kuning pada kadar yang berbeza.

Kurang daripada 10 peratus kanak-kanak di bawah umur enam tahun mengalami demam kuning sementara 40 hingga 50 peratus kanak-kanak dalam lingkungan umur enam hingga 14 tahun mengalami demam kuning. Kebarangkalian untuk mendapat demam kuning meningkat sehingga 70 atau 80 peratus jika jangkitan berlaku pada kanak-kanak lebih dewasa atau peringkat remaja sekitar umur 14 tahun ke atas. Tiada komplikasi jangka masa panjang untuk hepatitis A.Walau bagaimanapun, hepatitis A boleh memberi kesan yang serius pada warga tua di mana mereka memerlukan rawatan di hospital.

Sehingga kini, masih tiada rawatan khusus untuk penyakit ini tetapi ia boleh dielakkan melalui pengambilan dua dos vaksin pada jarak enam hingga 12 bulan. Pengambilan vaksin disarankan bagi individu yang berisiko tinggi seperti pengembara, lelaki homoseksual dan penagih dadah yang berkongsi jarum suntikan. Rawatan am ialah: mendapatkan rehat yang cukup dan minum banyak air, elak daripada minum alkohol & individu yang dijangkiti harus berada di rumah sehingga tiada lagi kesan jangkitan (seminggu selepas sakit).

Hepatitis A boleh di cegah melalui : Menjaga kebersihan diri (kerap basuh tangan selepas keluar daripada tandas dan selepas makan), Gunakan bekalan air yang bersih, Membasuh buah-buahan dan sayuran sebelum dimakan & Elak makan kerang mentah.

http://www.izieherb.net/hepatitis.htm

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...