Virus Hepatitis B


Virus Hepatitis B (HBV) mempunyai tempoh inkubasi yang lebih lama iaitu antara dua hingga tiga bulan. Virus ini juga boleh menyebabkan dua jenis masalah, sama ada akut atau kronik. HBV adalah virus yang paling lazim berjangkit di dunia. Dianggarkan lebih dua bilion penduduk dunia dijangkiti penyakit HBV dan kira- kira 350 juta lagi menjadi pembawa HBV yang kronik. Lebih menyedihkan, kebanyakan pembawa HBV kronik ini berada di India dan Afrika. Di Malaysia, 60 hingga 70 peratus kes HBV berlaku di kalangan orang Cina, Melayu (30 peratus) dan 10 peratus di kalangan orang India.

Virus ini boleh didapati di dalam darah dan cecair badan orang yang telah dijangkiti dan boleh merebak jika anda terdedah kepada darah, cecair darah(serum) atau cecair dari alat kelamin mereka. Virus ini disebarkan melalui hubungan seks, berkongsi jarum suntikan atau pemindahan darah. Wanita hamil yang telah dijangkiti HBV juga boleh memindahkan virus ini kepada anak ketika bersalin. Selain itu, HBV dikatakan 100 kali lebih cepat merebak berbanding virus HIV dengan gejala jangkitan seperti; Penat, Gatal-gatal, Hilang selera makan, Hilang berat badan, Sakit perut, Sakit-sakit sendi, demam kuning, kematian akut (mengejut), jangkitan kronik & kematian akibat penyakit hati yang kronik. Bagaimanapun, bukan semua orang yang mendapat penyakit hepatitis akibat HBV dan ada yang tidak mengalami masalah kesihatan dan boleh bekerja seperti biasa.

Hampir 90 peratus individu yang dijangkiti HBV mampu menyingkirkan virus tersebut melalui tindakan antibodi badan manakala 10 peratus lagi menjadi pembawa. Oleh kerana itu, HBV lebih bersifat kronik dan gejala kesihatan biasanya muncul apabila usia menjangkau umur 40 tahun. Di kalangan pesakit, dianggarkan 20 hingga 25 peratus mengalami komplikasi masalah sirosis hati (sel hati mati, mengeras dan menyebabkan parut). Daripada jumlah yang mengalami sirosis hati ini, kira-kira lima hingga 10 peratus mendapat kanser hati.

Jangkitan HBV boleh dikesan melalui pemeriksaan fungsi hati terutama ujian paras enzim hati (ALT). Biasanya bagi individu yang dijangkiti, paras antibodi adalah tinggi, walaupun hatinya boleh berfungsi secara normal. Selain itu, ujian yang boleh dilakukan bagi mengesan jangkitan virus ini adalah melalui proses serologi, imbasan bunyi, DNA bagi mengesan HBV dan biopsi hati untuk mengesan darjah keradangan atau kehadiran fibrosis (tisu hati bengkak dan bertukar menjadi parut).

Rawatan yang ada sekarang adalah untuk memperlahankan dan memberhentikan tindakan HBV daripada terus merosakkan hati. Ianya diberikan dalam bentuk suntikan yang perlu diambil tiga kali setiap minggu dalam tempoh empat hingga enam bulan. Pesakit juga perlu mendapatkan pemeriksaan susulan setiap enam bulan atau setahun sekali bagi memastikan tiada keradangan baru pada hati mereka. Sebagai perlindungan, anda boleh mengambil vaksin Heptitis B yang diberikan dalam tiga dos dengan jarak tiga bulan setiap suntikan. Pesakit radang hati yang kronik (chronic hepatitis) mungkin boleh dibantu dengan ubat interferon atau lamivudine.

Rawatan am: Rehat yang secukupnya dan minum air dengan banyak, Diet rendah lemak dan dan kurang perisa/tawar, Elakkan arak/alkohol & Dapatkan nasihat doktor mengenai ubat-ubat yang diambil untuk penyakit kronik yang lain.

Hepatitis B boleh dielakkan dengan : Menghindarkan aktiviti berisiko tinggi contohnya menagih dadah secara suntikan dan seks secara rambang, Menghindarkan berkongsi barang-barang persendirian (contohnya pisau pencukur) & Mengecualikan pembawa virus Hepatitis B sebagai penderma darah. Hepatitis B boleh dicegah dengan efektif melalui vaksin Hepatitis B. Di Malaysia, semua bayi diberi pelalian untuk HBV. Pelalian Hepatitis B juga digalakkan untuk kumpulan umur dan populasi masyarakat yang tertentu.

http://www.izieherb.net/hepatitis.htm

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...