INI adalah satu lagi penyakit yang
disebabkan oleh obesiti dan diabetes – hati berlemak. Malah remaja
seawal usia 15 tahun turut berisiko mendapat penyakit berkaitan hati ini
akibat kedua-dua masalah tersebut.
Menurut Perunding Gastroenterologi,
Pusat Perubatan Prince Court, Dr. Ryan Ponnudurai, hati berlemak turut
dikenali sebagai FLD, hepatosis steatorea atau hepatitis steatosis.
Ia merupakan satu keadaan di mana sejumlah besar membran lemak tepu berkumpul di dalam sel hati melalui proses steatosis.
Hati berlemak terbahagi kepada dua kumpulan utama iaitu hati berlemak biasa (steatosis), dan hati berlemak berkaitan dengan keradangan (steatohepatitis).
“Secara asas, penyakit ini timbul akibat
pengambilan alkohol terutama di negara Barat. Namun, keadaan semakin
berubah. Kini, kes berkaitan hati berlemak tanpa kehadiran alkohol
(NAFLD) semakin meningkat,” ujarnya.
Perubahan pada enzim hati secara
abnormal yang seterusnya menyebabkan ketidakseimbangan metabolisma
menjurus kepada masalah hati berlemak.
Tanpa simptom yang khusus, penyakit itu
lazimnya menyerang mereka yang berumur 40 tahun ke atas selain penghidap
obesiti atau diabetes.
“Kebanyakan pesakit tidak menyedarinya.
Disebabkan penyakit ini berkaitan dengan sindrom metabolik (diabetes,
tekanan melampau serta obesiti), pemeriksaan biasa tidak mampu mengesan
kehadiran lemak pada hati.
“Hanya dengan melakukan ujian ultra
bunyi dan diikuti biopsi pada hati dapat mengesan kehadiran lemak,”
tegasnya yang turut menjelaskan tiada satu kaedah rawatan bagi penyakit
ini.
Menyerang wanita hamil
Tambahnya, progres steatohepatitis mampu
menyebabkan fibrosis hati dan sirosis. Akibatnya, ia meningkatkan
risiko kematian terhadap penghidapnya.
Selain itu, fibrosis atau sirosis di
dalam hati dihadapi oleh antara 15 hingga 50 peratus pesakit hati
berlemak tanpa alkohol steatohepatitis (NASH).
Ryan menegaskan, hanya dengan menjalani
cara hidup yang sihat serta mengamalkan pemakanan yang teratur mampu
mengelakkan penularan penyakit itu.
Ryan turut menjelaskan, penyakit hati berlemak itu juga merupakan punca kepada gagalnya pemindahan hati dilakukan.
“Sejak lima tahun lepas, kebanyakan
pakar bedah mengalami masalah dalam melakukan pemindahan hati walaupun
mempunyai ramai penderma.
“Sebabnya, apabila diperiksa keadaan hati penderma, ramai antara mereka tidak menyedari mempunyai hati berlemak,” ungkapnya.
Ryan berkata, penyakit itu turut menyerang wanita hamil, terutama ketika kandungan berada di peringkat trisemester akhir.
Namun jelasnya, bagi wanita hamil, ia
akan hilang selepas bersalin sama seperti mereka mengalami darah tinggi
dan kencing manis ketika tempoh kehamilan.
Bukan itu saja, Ryan memberitahu bahawa
penurunan berat badan secara mendadak turut mengundang kepada kewujudan
hati berlemak itu.
“Kerana risiko ini, mereka yang ingin mengurangkan berat badan disaran agar melakukannya secara berperingkat,” tegasnya.
Info:http://www.mummynemo.com/2012/03/penyakit-hati-berlemakpunca-dan-cara-merawat-penyakit-hati-berlemak/
No comments:
Post a Comment