Hati merupakan
organ homeostasis
yang memainkan peranan penting dalam proses metabolisma dalam manusia
dan haiwan. Hati mempunyai pelbagai fungsi termasuk menyimpan glikogen,
mensintesis protein plasma, dan menyahtoksik dadah. Ia menghasilkan
hempedu yang penting bagi
penghadaman.
Ia melaksana dan mengawal pelbagai fungsi biokimia jumlah besar yang
memerlukan tisu khas. Istilah perubatan yang berkaitan dengan hati
sering kali bermula dari perkataan Greek bagi hati iaitu
hepar, menjadi
hepato- atau
hepatic.
Hati berwarna perang kemerahan dan terletak di bawah diafragma iaitu di
dalam rongga abdomen. Hati menerima makanan terlarut dalam
darah apabila makanan ini tercerna dan diserap di usus.
Struktur
Hati manusia dewasa mempunyai berat antara 1.3 - 3.0
kilogram. Ia adalah organ lembut berwarna perang kemerahan. Hati merupakan organ kedua terbesar manusia (organ terbesar adalah
kulit) dan
kelenjar terbesar dalam tubuh manusia.
Ia terletak di bawah
diafragma
di sebelah kanan badan manusia. Sebahagian besar permukaan hati
terletak di dalam sangkar toraks bagi melindunginya daripada kecederaan.
ia juga menjadi alas bagi
pundi hempedu yang menyimpan
hempedu.
Secara anatomi, hati dapat dibahagikan kepada empat lobus iaitu lobus kanan (
right lobe), lobus kiri (
left lobe),
caudate lobe, dan
quadrate lobe. Lihat gambar untuk penerangan yang lebih jelas.
Mikrostruktur
Hati terdiri daripada koleksi unit-unit mikroskopik yang dipanggil
lobul (jangan dikelirukan dengan
lobus
di atas) yang setiapnya berbentuk heksagon (secara kasar). Lobul-lobul
ini merupakan pusat pemprosesan utama bagi hati. Di sinilah hati
menjalankan fungsi-fungsinya seperti menyahtoksik darah dan menghasilkan
hempedu. Berikut adalah salur-salur yang berhubung dengan setiap lobul
hati:
- Portal triad yang terdiri daripada 3 salur iaitu:
- Hepatic portal capilarry atau kapilari portal hati. Ia membawa darah dari vena portal hepar ke lobul hati.
- Arteri hati yang membekalkan darah beroksigen kepada lobul-lobul hati.
- Duktus hempedu yang membawa cecair hempedu dari lobul ke pundi hempedu untuk disimpan.
- Vena hati yang membawa darah terdeoksigen dari hati. Terdapat
dua vena hati iaitu vena hati kanan dan vena hati kiri. Kedua-dua vena
ini bersambung terus dengan vena kava inferior
Peredaran bahan
Hati menerima darah melalui arteri hati dan vena portal hepar. Arteri
hati membawa darah beroksigen dari jantung untuk dibekalkan kepada
sel-sel hati. Vena portal hepar pula membawa darah dari usus untuk
dinyahtoksik. Darah dari kedua-dua salur darah ini dibawa keluar dari
hati melalui vena hati ke dalam vena kava inferior untuk dibawa balik ke
jantung.
Selain darah, hempedu juga dialirkan keluar dari hati. Duktus hempedu membawa
hempedu ke pundi hempedu untuk disimpan dan dipekatkan sebelum dirembes ke dalam
duodenum.
Fungsi
Berikut adalah fungsi-fungsi hati:
- Mengawal aras glukosa darah dengan menyimpan glikogen di dalam hati.
- Menyimpan vitamin dan garam mineral tertentu.
- Mengawalatur metabolisme karbohidrat, lipid dan asid amino.
- Menghasilkan hempedu yang akan disimpan di dalam pundi hempedu.
- Menghasilkan protein-protein plasma tertentu seperti albumin.
- Menghasilkan faktor-faktor pembekuan darah I (fibrinogen), II (protrombin), V, VII, IX, X and XI
- Menyahtoksik bahan-bahan beracun terutama dadah dan bahan-bahan bernitrogen seperti ammonia.
- Sebagai tempat penghasilan sel-sel darah merah fetus.
- Menguraikan molekul hemoglobin tua.
- Menyingkirkan hormon-hormon berlebihan.
http://ms.wikipedia.org/wiki/Hati