Apakah nasihat doktor supaya suami saya tidak terkena virus sama apabila
kami berkahwin kelak? Adakah kemungkinan saya memiliki anak yang sihat
dan bebas daripada virus ini?
GADIS KELIRU
Shah Alam, Selangor
SEBELUM itu, ingin saya jelaskan bahawa ini bukan bidang kepakaran saya.
Terdapat kategori pakar perubatan dalaman, lebih-lebih lagi yang
mempunyai tambahan pengkhususan dalam bidang hepatologi atau
gastro-enterologi yang lebih mahir dalam mengendalikan kes anda, malah
dapat memberikan penerangan lebih mendalam dan jelas terhadap penyakit
ini.
Penerangan di bawah adalah secara panduan saja, seeloknya anda bertanyakan doktor anda untuk kesahihan.
Anda tidak menyatakan status jangkitan yang anda alami, yang boleh
diketahui melalui ujian darah ke atas protein berlainan hepatitis B
(s-Antibodi, s-Antigen, e-Antigen, c-Antibodi dan c-Antibodi IgM).
Tidak salah jika anda ingin mengulangi ujian itu untuk kepastian. Anda
juga boleh mengetahui sekiranya anda sudah sembuh daripada virus ini.
Terlebih dulu, anda juga mungkin boleh cuba bertanya kepada bakal suami
mengenai status hepatitis B pada dirinya sekiranya dia sudah
mendapatkan suntikan vaksin hepatitis B sebelum ini yang boleh
melindunginya. Ini boleh disahkan dengan ujian darah.
Jika benar anda dijangkiti dan bakal suami anda tidak pernah mendapat
perlindungan vaksin itu, saya nasihatkan anda berterus terang kepada
bakal suami kerana mempunyai virus hepatitis B boleh menjangkiti suami
melalui hubungan seks (virus ini terdapat dalam lelehan faraj selain
bendalir tubuh seperti darah, air mani, susu badan dan lelehan luka).
Ini terutamanya jika ujian darah menunjukkan kehadiran antigen e
(hepatitis B e-Antigen) yang bermakna tubuh seseorang mempunyai paras
virus hepatitis B yang tinggi dan mudah menjangkiti.
Bakal suami anda juga disaran mendapatkan suntikan gamma immunoglobulin
hepatitis B dan memulakan siri vaksinasi hepatitis B secepat mungkin
bagi melindunginya.
Berikut adalah beberapa fakta yang boleh dijadikan panduan:
Secara perbandingan, virus hepatitis B seribu kali lebih mudah
berjangkit berbanding virus HIV. Virus hepatitis B boleh menyebabkan
penyakit peradangan hati (hepatitis) yang boleh menjadi kronik, penyakit
sirosis hati dan kanser hati (kanser hepato-selular).
Tempoh vaksinasi mengambil masa enam bulan. Menangguhkan
hubungan seks adalah pilihan selamat sehingga suami mengambil suntikan
immunoglobulin dan vaksinasi lengkap serta disahkan oleh ujian darah
dirinya sudah imun terhadap hepatitis B. Menggunakan kondom dalam tempoh
terbabit boleh memberi risiko jangkitan sekiranya kondom itu bocor.
Anda juga dinasihatkan tidak berkongsi barangan peribadi seperti sikat,
berus gigi, pengetip kuku, gunting, pencukur dan seumpamanya yang boleh
mempunyai sisa darah anda, sama ada dengan mereka di sekeliling anda
yang masih belum imun.
Begitu juga apabila anda luka, hendaklah ditutup dan elakkan
menyentuh orang lain dengan kawasan luka terbabit kerana dikhuatiri
berjangkit kepada mereka sekiranya permukaan kulit mereka juga mengalami
luka walaupun kecil.
Menderma darah juga dilarang.
Kebanyakan hospital juga menjalankan ujian hepatitis B secara
rutin bagi pesakit yang ingin menjalani pembedahan bagi membolehkan
mereka mengubah suai persediaan atau jenis alatan pembedahan untuk
mengelakkan risiko kakitangan atau pesakit lain dijangkiti.
Seeloknya anda memberitahu doktor keadaan hepatitis anda apabila
mendapatkan rawatan penyakit seperti demam, apabila hamil dan sebelum
menjalani pembedahan.
Virus hepatitis B juga boleh berpindah secara transmisi ‘menegak’
daripada ibu kepada bayinya. Selepas dilahirkan, bayi anda akan
diberikan suntikan immunoglobulin hepatitis B bagi membantu mencegah
jangkitan di samping vaksin hepatittis B. Di negara kita, program siri
imunisasi hepatitis B ke atas bayi sudah diberikan secara percuma sejak
lebih 20 tahun lalu.
Anda dinasihati menjalani rawatan susulan untuk mengetahui kesan
jangkitan terhadap hati dan kesihatan am anda dari semasa ke semasa.
Terdapat juga pesakit yang kemudian didapati bebas daripada virus ini.
Amalkan pemakanan berkhasiat dan seimbang bagi menguatkan sistem imun
anda terhadap penyakit lain. Penjagaan ketahanan hati amat penting,
ketahui isi kandungan sebenar yang anda ambil dan kesannya sama ada
produk makanan, produk tradisional ataupun ubatan moden.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/BakalpengantinadavirushepatitisB//Article/article_print