Tidak mudah bagi penghidap Hepatitis C untuk meneruskan hidup bersama individu yang sihat kerana persepsi masyarakat terhadap penyakit ini seperti HIV ( human immunodeficiency virus), menjadikan penghidap sering didiskriminasi.
Pengalaman ini dirasai sendiri oleh Teng Su May, 29, yang disahkan menghidap penyakit berkenaan pada 2009 selepas menjalani pemeriksaan kesihatan termasuk imbasan sinar-X dan ujian darah.
Dia disyaki dijangkiti penyakit itu melalui satu pemindahan darah ketika menjalani rawatan penyakit leukimia yang dihidapi pada zaman kanak-kanaknya.
“Sebelum ini saya tidak tahu langsung yang saya mempunyai Hepatitis C, yang diperoleh melalui pemindahan darah. Perkara itu terbongkar ketika saya membuat rutin pemeriksaan kesihatan ketika mahu melanjutkan pelajaran ke luar negara.
“Saya disahkan menghidap Hepatitis C, tetapi pada waktu itu saya tidak terlalu bimbang dan meneruskan pengajian di United Kingdom.
“Setahun kemudian saya mendapatkan rawatan secara lebih serius dan selepas lima tahun saya disahkan sembuh sepenuhnya daripada penyakit berkenaan,” jelasnya.
Ujar Su May, bergelar penghidap Hepatitis C seakan-akan penghidap HIV kerana walaupun virus berkenaan tidak berjangkit melalui sentuhan, penghidap perlu berhati-hati ketika menggunakan perkakasan yang tajam.
“Sepanjang saya menghidap Hepatitis C, saya lebih berhati-hati dalam menjaga soal kebersihan. Jika berlaku pendarahan ketika menggunakan pisau, saya akan cepat-cepat membersihkannya agar keluarga tidak terdedah dengan jangkitan,” katanya.
Bagi Nor Hilmi Izal Hashim, 36, bergelar penghidap Hepatitis C sejak tiga tahun lalu tidak mudah baginya kerana perlu berhadapan dengan pandangan negatif masyarakat yang ada kalanya menuduh penghidap terlibat dengan aktiviti tidak sihat seperti pengambilan dadah dan seks bebas.
“Pada peringkat awal saya disahkan menghidap penyakit ini, saya kehilangan ramai kawan kerana mereka bimbang dijangkiti, malah ada yang memandang serong terhadap saya sehingga memberi kesan psikologi yang teruk.
“Namun, saya bangkit dan berusaha untuk hidup seperti orang biasa dan merujuk pakar di hospital bagi memastikan pengurusan penyakit ini dapat dilakukan dengan betul,” akuinya yang pernah berputus asa apabila doktor mengesahkan hanya mampu hidup selama 20 tahun.
Virus Hepatitis C (HCV) sering kali digelar penyakit yang membunuh manusia secara senyap kerana penghidapnya mampu hidup selama bertahun-tahun tanpa menyedari mereka mempunyai penyakit berkenaan yang menyebabkan kerosakan hati.
Keadaan hati yang rosak itu mampu berlaku tanpa menunjukkan tanda-tanda yang jelas dan lazimnya tanda-tanda akan kelihatan pada tempoh atau keadaan penghidap itu telah menghidap Hepatitis C secara kronik.
Menurut Penasihat Hepatologi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof. Dr. Rosmawati Mohamed, di negara ini penyakit HCV berada di tahap membimbangkan apabila dianggarkan tiga daripada empat rakyat negara ini dikesan dijangkiti penyakit HCV setiap hari.
Katanya, kini bilangannya telah mencecah hampir setengah juta manakala di seluruh dunia tiga hingga empat juta dijangkiti setiap tahun.
“Tidak seperti Hepatitis A dan Hepatitis B, HCV yang juga merupakan virus yang dijangkiti menerusi darah, tidak mempunyai vaksin yang boleh mencegah jangkitan berkenaan.
“Gejalanya yang biasa seperti mengalami demam, lesu, hilang selera makan, loya, najis berwarna kelabu, demam kuning dan sakit sendi ada kalanya menyukarkan individu mengesan sama ada mereka dijangkiti virus berkenaan atau sebaliknya,” katanya.
Menurut Dr. Rosmawati lagi, 80 peratus daripada mereka yang dijangkiti HCV kronik tidak mengalami sebarang gejala sedangkan kerosakan kepada hati telah berlaku tanpa disedari.
Katanya, komplikasi hati yang serius boleh mengambil masa sehingga 30 tahun untuk terbentuk dan setiap hari kerosakan yang berlaku semakin buruk.
“Sekiranya penyakit ini dibiarkan tanpa rawatan, HCV boleh merebak dan berkembang menjadi sirosis hati, kegagalan hati atau kanser hati.
“Fungsi hati akan mula terjejas sebaik sirosis merebak sehingga mengakibatkan pengumpulan bahan toksin yang lazimnya disingkirkan oleh sel hati yang sihat,” katanya pada Majlis Pelancaran Siri Jelajah dan Pameran Kesedaran Kesihatan anjuran badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), My Commitment To Cure Hepatitis C, di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.
Majlis yang disempurnakan Penasihat Pembangunan Keusahawanan dan Ikhtisas Wanita di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, turut dihadiri Pakar Perunding Gastroenterologi, Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan dan Pakar Perunding Hepatologi, Hospital Selayang, Dr. Tan Soek Siam.
My Commitment To Cure Hepatitis C dianggotai oleh enam pakar perubatan dari Kementerian Kesihatan dan dua ahli akademik tempatan, diwujudkan bagi memberi kesedaran mengenai penyakit berkenaan bagi menangani beban penyakit ini di Malaysia.
Melalui gabungan itu juga, sasarannya adalah untuk mewujudkan kesedaran mengenai Hepatitis C dan menggalakkan mereka yang berisiko untuk membuat pemeriksaan awal.
Jelas Dr. Rosmawati, gabungan berkenaan merupakan pertama seumpamanya di negara ini yang menawarkan pendekatan bersepadu untuk menangani Hepatitis C di negara ini.
“My Commitment to Cure Hepatitis C adalah gabungan di antara beberapa orang pakar yang komited untuk menggerakkan pelan komprehensif dalam meningkatkan kesedaran, pengesanan dan penjagaan pesakit yang hidup dengan Hepatitis C.
“Gabungan ini mensasarkan untuk bekerjasama dengan pihak berkepentingan dalam merumus dan mempromosi strategi dan pelan tindakan utama ke arah membanteras HCV,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/gaya-hidup/kesihatan/hepatitis-c-boleh-sembuh-1.98392#sthash.L6tnPxuJ.dpuf
No comments:
Post a Comment