Hepatitis C Boleh Dirawat

Virus Hepatitis C boleh menyebabkan komplikasi hati yang teruk. – Gambar hiasan

TERKESIMA. Perasaannya bercampur baur tatkala dirinya disahkan menghidap penyakit Hepatitis C walaupun dia tidak mengalami tanda-tanda ketara sebagai seorang pesakit.

Pada zaman kanak-kanak, dia menghidap penyakit leukimia, malah hampir 20 tahun ditahan di wad.

Namun, kira-kira tujuh tahun lalu, Teng Su May, 29, telah melakukan pemeriksaan kesihatan rutin termasuk imbasan sinar-X dan ujian darah sebelum berangkat ke United Kingdom untuk melanjutkan pengajian dalam bidang undang-undang.

Siapa tahu di sebalik rasa teruja untuk ke negara empat musim itu, Su May dikejutkan dengan berita dirinya menghidap penyakit Hepatitis C melalui ujian darah yang dilakukan.

“Saya tidak pernah tahu tentang penyakit ini. Memang sangat terkejut namun ibu bapa banyak menenangkan saya.

“Bagaimanapun, kini saya berasa lega dan tenang kerana ia tidak menghalang aktiviti harian saya, malah pengajian boleh diteruskan seperti biasa,” jelas anak jati Kuala Lumpur itu.

Hepatitis C merupakan penyakit yang disebabkan oleh virus Hepatitis C. Berbeza dengan penyakit lain, penyakit tersebut tidak mempunyai sebarang simptom yang boleh dirasa atau dilihat secara jelas sehinggalah ia berada pada tahap kritikal dan boleh mengundang maut.

Situasi senyap tersebut turut berlaku pada Su May yang mengetahui dirinya dijangkiti Hepatitis C hanya secara kebetulan.

Lulusan bidang Undang-Undang daripada Universiti Of West England itu berkata, selepas mengetahui status dirinya, dia banyak melakukan pertemuan dengan doktor dan membuat kajian tentang penyakit tersebut untuk langkah pencegahan daripada menjangkiti orang lain.

“Saya bernasib baik kerana mengetahui status penyakit lebih awal dan tidak memberi kesan buruk kepada kesihatan saya. Urusan harian masih boleh diteruskan namun saya cukup berhati-hati apabila terluka kerana gusar ia terkena orang lain.

“Saya tidak membenarkan orang lain menyentuh luka tersebut. Jadi, biasanya saya akan merawat luka sendiri. Penyakit ini senang berjangkit melalui darah. Namun, ia tidak semudah jangkitan penyakit lain. Apa yang penting, saya perlu tahu batasan saya,” jelasnya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Nasihat doktor

Kongsi gadis itu, pada tahun 2009, ketika pulang ke tanah air, dia telah berjumpa dengan doktor pediatrik yang pernah merawatnya ketika menghidap leukemia sewaktu berumur tiga tahun.

Cerita Su May, doktor itu memberitahu, dia kemungkinan mendapat penyakit tersebut melalui pemindahan darah yang pernah dilakukan kira-kira 26 tahun lalu semasa rawatan leukemia.

Bercerita tentang proses rawatan untuk penyakit tersebut, anak sulung daripada tiga adik-beradik itu menjelaskan, dia mula mendapatkan rawatan intensif pada tahun 2010 di Hospital Selayang, Selangor.

Dia selalu berjumpa dengan doktor untuk membuat pemeriksaan susulan sehingga April lalu saya disahkan bebas daripada virus tersebut.

“Sepanjang tempoh lima tahun ini, saya telah diberikan ubat dan suntikan sebanyak 24 dos selama enam bulan untuk rawatan penyakit,” ujarnya yang mendapat Hepatitis C genotaip 3.

Hepatitis C mempunyai enam genotaip iaitu 1, 2, 3, 4, 5 dan 6 dengan genotaip 3 merupakan jenis yang paling banyak dihidapi oleh pesakit di negara ini diikuti genotaip 1.

Ketika dalam tempoh rawatan, Su May tidak mendapat kesan sampingan seperti penat, loya atau hilang selera makan akibat rawatan yang dijalankan namun jelasnya, apabila disahkan menghidap penyakit tersebut, dia mula menitikberatkan tentang pemeriksaan kesihatan.

Penghidap Hepatitis C perlu berhati-hati ketika melakukan rawatan yang melibatkan darah untuk mengelakkan jangkitan. – Gambar hiasan

“Setiap tahun saya akan melakukan pemeriksaan kesihatan termasuklah pemeriksaan darah. Saya menghargai diri dan lebih positif dalam mengharungi cabaran.

“Sejak kecil saya selalu keluar masuk hospital kerana leukemia diikuti Hepatitis C apabila berumur sekitar 20-an. Saya sangat bersyukur dengan nikmat yang diberi dan masih diberi ruang untuk hidup,” luahnya yang mahu membalas jasa kedua-dua ibu bapanya yang banyak memberikan sokongan untuk meneruskan hidup.

Sementara itu, Nor Hilmi Izal, 36, juga berhadapan situasi yang sama apabila disahkan menghidap penyakit tersebut sedangkan dirinya tidak mempunyai apa-apa pengetahuan tentang virus berkenaan.

Tiga tahun lalu, Nor Hilmi telah melakukan ujian darah setelah dimasukkan ke hospital akibat sakit perut. Ujian tersebut telah membongkar bahawa dirinya merupakan penghidap Hepatitis C.

Rawatan

Ketika mendapat berita tersebut, dia sangat terkejut kerana tiada dalam kalangan ahli keluarganya yang menghidapi penyakit itu.

“Keluarga dan kawan-kawan juga terkejut. Saya pada awalnya agak berat untuk menerima berita tersebut kerana cara jangkitan penyakit ini hampir sama seperti HIV dan AIDS.

“Sehingga sekarang, saya masih tidak mengetahui bagaimana saya boleh menghidap penyakit itu kerana saya bukan daripada golongan berisiko. Saya tidak pernah melakukan pemindahan darah,” jelas Nor Hilmi yang menghidap Hepatitis C genotaip 1.

Walaupun tidak mendatangkan sebarang kesakitan, anak jati Kedah itu membuat keputusan untuk membuat rawatan pada Februari tahun lalu kerana gusar tentang kesan jangka masa panjang yang boleh berlaku jika rawatan tidak dilakukan.

Kongsinya, doktor menyarankan rawatan dilakukan supaya penyakit tersebut tidak bertambah teruk kerana ia menyebabkan kanser hati dan boleh membawa maut.

“Pertemuan dengan doktor membuatkan saya lebih faham tentang penyakit ini. Saya lebih tenang dan berjaga-jaga.

“Jika membuat rawatan pergigian, saya akan memberitahu doktor tentang penyakit saya supaya langkah pencegahan dilakukan untuk mengelakkan orang lain berjangkit,” jelasnya yang menyarankan supaya orang ramai lebih peka dan mengambil berat untuk membuat pemeriksaan kesihatan.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0529&pub=Kosmo&sec=Pesona&pg=ps_01.htm#ixzz3iZd4izhr
Hakcipta terpelihara

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...