Kerosakan hati akibat hepatitis mungkin membawa kepada sirosis dan kanser hati.
Sejauh
mana anda mengenali hati sendiri? Hati yang banyak digunakan dalam
frasa kata harian jarang mendapat perhatian dari sudut kesihatan
berikutan jarang berlaku kes penyakit yang amat teruk berbanding masalah
jantung, buah pinggang atau kanser.
Pada dasarnya, ramai di antara kita yang mengambil mudah kesihatan hati memandangkan ia antara organ yang
paling pantas tumbuh kembali.
Keupayaan tersebut menyebabkan jarang berlaku masalah hati di kalangan
orang dewasa, di samping tempoh rawatan penyakit hati yang mungkin lebih
pendek berbanding penyakit lain.
Kebelakangan ini, lebih tumpuan
mula diberikan kepada organ malang ini berikutan peningkatan kes
jangkitan virus yang menyebabkan
hepatitis atau
keradangan hati. Bagaimanapun, secara umumnya, orang ramai masih mengambil ringan betapa pentingnya organ ini dalam kehidupan seharian mereka.
Fungsi Hati
Hati
merupakan organ dalaman dan kelenjar terbesar di dalam badan manusia
yang memainkan peranan penting dalam penyahtoksikan serta metabolisma
badan. Hati merupakan antara organ utama di bahagian abdomen dan berada
di bawah tulang rusuk.
Kedudukan hati selalunya di bawah rusuk sebelah kanan tetapi ada juga individu yang hatinya terletak di sebelah kiri.
Organ
ini banyak fungsinya, bukan sahaja dalam metabolisma makanan malahan
sebagai penawar toksin atau apa juga racun yang masuk ke dalam badan.
Fungsi menguraikan ubat dan racun ini amat penting bagi mengelakkannya
menjadi racun dan merosakkan badan.
Hati juga boleh menukar
sesetengah bahan menjadi bahan aktif yang boleh digunakan badan dan
membuang bahan sampingan berbahaya yang dikeluarkan melalui najis atau
air kencing.
Hati juga menghasilkan hempedu yang disimpan di
dalam pundi hempedu untuk digunakan dalam proses penghadaman lemak.
Selain itu, hati turut berfungsi sebagai kilang simpanan untuk gula,
lemak, protein dan vitamin yang akan dikeluarkan mengikut keperluan
badan.
Kerosakan Hati
Kesemua fungsi-fungsi ini
akan terganggu jika berlaku kerosakan pada hati. Kerosakan hati boleh
menyebabkan kegagalan hati berfungsi dengan mendadak (akut) dan boleh
menyebabkan pesakit koma akibat pengumpulan toksin di dalam badan.
Walaupun
kegagalan akut fungsi hati jarang berlaku, jumlah kematian di kalangan
pesakit yang mengalaminya amat tinggi dan boleh berlaku dalam masa
beberapa minggu sahaja.
Pesakit juga boleh mengalami pendarahan teruk akibat kegagalan hati menghasilkan faktor pembekuan darah.
Gejala Kerosakan Hati
Antara
gejala masalah hati adalah hilang selera makan, muntah, demam dan badan
menjadi gatal di banyak tempat. Pesakit juga mungkin menunjukkan
simptom mata berwarna kuning dan air kencing kuning keemasan seperti teh
‘O’ pekat.
Pesakit juga mungkin akan perasan warna najis yang
kurang pekat kerana hati tidak dapat menghasilkan hempedu (yang
memberikan warna najis). Pesakit juga mungkin mengalami simptom penyakit
kuning, loya, sakit pada kawasan hati dan hati bengkak.
Punca
utama keradangan hati di Malaysia adalah akibat jangkitan virus,
bakteria, fungus atau parasit. Virus merupakan punca utama hepatitis di
negara ini, dengan Virus Hepatitis A (HAV) yang merebak melalui minuman
dan makanan paling banyak ditemui.
Selain HAV, virus hepatitis
jenis B (HBV) dan C (HCV) juga kerap ditemui di Malaysia berbanding
jenis D, E, F dan G yang jarang ditemui di Malaysia. Virus Hepatitis E
(HEV) mempunyai ciri-ciri yang hampir serupa dengan HAV seperti merebak
melalui air atau orang yang menguruskan makanan.
HEV bagaimanapun kerap ditemui di India dan Bangladesh dan boleh di bawa masuk ke negara ini oleh imigran dari negara terbabit.
Penawar Hati
Keupayaan
hati untuk tumbuh semula, dan lebih pantas berbanding organ lain
membolehkannya menggantikan tisu hati yang rosak. Namun, ini tidak
bermakna pesakit tidak perlu 'menjaga hati' mereka kerana memikirkan
hati boleh membaiki diri sendiri.
Semua pesakit hepatitis perlu
mengawal pemakanan, pengambilan nutrien dan juga mengelakkan pengambilan
ubat, kecuali yang perlu. Pesakit perlu mengurangkan benda-benda
berlemak, banyakkan pengambilan karbohidrat serta jauhkan dari mengambil
ubat-ubatan termasuk paracetamol.
Mereka juga perlu memastikan
pengambilan protein dan air secukupnya untuk membantu pemulihan hati
serta mengambil suplemen vitamin tertentu seperti vitamin K untuk
masalah pendarahan.
Bagi jangkitan HAV iaitu yang paling banyak
berlaku bagi hepatitis akibat jangkitan virus, kebanyakan pesakit sembuh
akan sendiri dan tidak perlu dimasukkan ke wad. Pesakit HAV dianggarkan
pulih sepenuhnya selepas kira-kira 45 hari, dan virus tersebut juga
akan hilang sepenuhnya dari badan pesakit.
Jangkitan HBV dan HCV
bagaimanapun mungkin memerlukan rawatan ubat tertentu seperti
interferon, ubat bagi mengurangkan replikasi virus dan ubat untuk
menggalakkan penghasilan antibodi. Hampir 10% pesakit HBV dan sehingga
50% pesakit HCV mungkin akan menghidap sirosis dan kanser hati. Dari
segi keberkesanan ubat yang digunakan pula, jangkitan HCV lebih sukar
dirawat kerana kadar keberkesanan rawatan cuma 40% berbanding 60% untuk
HBV.
Pemindahan Hati
Kebolehan istimewa hati untuk
tumbuh semula memudahkan pendermaan hati memandangkan hanya sebahagian
kecil organ tersebut diperlukan untuk transplan kepada pesakit yang
memerlukan. Tisu hati juga dapat tumbuh kembali menjadi organ hati yang
penuh walaupun jika cuma tinggal 25% tisu hati yang sihat.
Walaubagaimanapun
pemindahan hati selalunya dilakukan bagi kes hepatitis yang bukan
berpunca daripada jangkitan virus atau kuman. Pesakit yang mengalami
kerosakan hati akibat jangkitan mempunyai risiko hati baru yang
dipindahkan turut dijangkiti.
Jika tiada lagi virus atau kuman
punca hepatitis di dalam badan pesakit, doktor mungkin akan menimbangkan
untuk melakukan pemindahan hati. Pemindahan hati untuk hepatitis yang
berpunca daripada bahan kimia atau toksin lebih mudah dilakukan.
Namun,
sebarang toksin perlu dibuang terlebih dahulu dan pesakit yang
ketagihan (ubat atau alkohol) perlu dipulihkan dahulu sebelum pemindahan
hati dijalankan.
Ini dapat mengelakkan pembaziran hati yang
didermakan kerana ia juga akan rosak jika toksin, ubat atau alkohol
terus diambil pesakit. Antara individu yang akan mendapat manfaat besar
melalui pemindahan hati adalah pesakit hepatitis autoimun.
Janganlah
kita mengabaikan kesihatan mana-mana organ sekalipun, termasuk hati,
dengan alasan ia dapat pulih sendiri dan tidak membawa maut dengan
serta-merta. Bayangkan hati seperti otak dan tulang belakang yang
membolehkan kita menggerakkan badan serta menjalankan aktiviti harian.
Tanpa
hati, kita bukan sahaja akan mati, malahan akan hilang kawalan dalam
fungsi kimia utama badan yang tidak jauh bezanya dari perlahan-lahan
menjadi lumpuh. Sayang diri, sayang hati.
http://www.sihatselalu.com.my/2009/04/fungsi-organ-hati.html