Sejauh mana anda mengenali hati sendiri? Hati yang banyak digunakan dalam frasa kata harian jarang mendapat perhatian dari sudut kesihatan berikutan jarang berlaku kes penyakit yang amat teruk berbanding masalah jantung, buah pinggang atau kanser.
Pada dasarnya, ramai di antara kita yang mengambil mudah kesihatan hati memandangkan ia antara organ yang paling pantas tumbuh kembali. Keupayaan tersebut menyebabkan jarang berlaku masalah hati di kalangan orang dewasa, di samping tempoh rawatan penyakit hati yang mungkin lebih pendek berbanding penyakit lain.
Kebelakangan ini, lebih tumpuan mula diberikan kepada organ malang ini berikutan peningkatan kes jangkitan virus yang menyebabkan hepatitis atau keradangan hati. Bagaimanapun, secara umumnya, orang ramai masih mengambil ringan betapa pentingnya organ ini dalam kehidupan seharian mereka.
Fungsi Hati
Hati merupakan organ dalaman dan kelenjar terbesar di dalam badan manusia yang memainkan peranan penting dalam penyahtoksikan serta metabolisma badan. Hati merupakan antara organ utama di bahagian abdomen dan berada di bawah tulang rusuk.
Kedudukan hati selalunya di bawah rusuk sebelah kanan tetapi ada juga individu yang hatinya terletak di sebelah kiri.
Organ ini banyak fungsinya, bukan sahaja dalam metabolisma makanan malahan sebagai penawar toksin atau apa juga racun yang masuk ke dalam badan. Fungsi menguraikan ubat dan racun ini amat penting bagi mengelakkannya menjadi racun dan merosakkan badan.
Hati juga boleh menukar sesetengah bahan menjadi bahan aktif yang boleh digunakan badan dan membuang bahan sampingan berbahaya yang dikeluarkan melalui najis atau air kencing.
Hati juga menghasilkan hempedu yang disimpan di dalam pundi hempedu untuk digunakan dalam proses penghadaman lemak. Selain itu, hati turut berfungsi sebagai kilang simpanan untuk gula, lemak, protein dan vitamin yang akan dikeluarkan mengikut keperluan badan.
Kerosakan Hati
Kesemua fungsi-fungsi ini akan terganggu jika berlaku kerosakan pada hati. Kerosakan hati boleh menyebabkan kegagalan hati berfungsi dengan mendadak (akut) dan boleh menyebabkan pesakit koma akibat pengumpulan toksin di dalam badan.
Walaupun kegagalan akut fungsi hati jarang berlaku, jumlah kematian di kalangan pesakit yang mengalaminya amat tinggi dan boleh berlaku dalam masa beberapa minggu sahaja.
Pesakit juga boleh mengalami pendarahan teruk akibat kegagalan hati menghasilkan faktor pembekuan darah.
Gejala Kerosakan Hati
Antara gejala masalah hati adalah hilang selera makan, muntah, demam dan badan menjadi gatal di banyak tempat. Pesakit juga mungkin menunjukkan simptom mata berwarna kuning dan air kencing kuning keemasan seperti teh ‘O’ pekat.
Pesakit juga mungkin akan perasan warna najis yang kurang pekat kerana hati tidak dapat menghasilkan hempedu (yang memberikan warna najis). Pesakit juga mungkin mengalami simptom penyakit kuning, loya, sakit pada kawasan hati dan hati bengkak.
Punca utama keradangan hati di Malaysia adalah akibat jangkitan virus, bakteria, fungus atau parasit. Virus merupakan punca utama hepatitis di negara ini, dengan Virus Hepatitis A (HAV) yang merebak melalui minuman dan makanan paling banyak ditemui.
Selain HAV, virus hepatitis jenis B (HBV) dan C (HCV) juga kerap ditemui di Malaysia berbanding jenis D, E, F dan G yang jarang ditemui di Malaysia. Virus Hepatitis E (HEV) mempunyai ciri-ciri yang hampir serupa dengan HAV seperti merebak melalui air atau orang yang menguruskan makanan.
HEV bagaimanapun kerap ditemui di India dan Bangladesh dan boleh di bawa masuk ke negara ini oleh imigran dari negara terbabit.
Penawar Hati
Keupayaan hati untuk tumbuh semula, dan lebih pantas berbanding organ lain membolehkannya menggantikan tisu hati yang rosak. Namun, ini tidak bermakna pesakit tidak perlu 'menjaga hati' mereka kerana memikirkan hati boleh membaiki diri sendiri.
Semua pesakit hepatitis perlu mengawal pemakanan, pengambilan nutrien dan juga mengelakkan pengambilan ubat, kecuali yang perlu. Pesakit perlu mengurangkan benda-benda berlemak, banyakkan pengambilan karbohidrat serta jauhkan dari mengambil ubat-ubatan termasuk paracetamol.
Mereka juga perlu memastikan pengambilan protein dan air secukupnya untuk membantu pemulihan hati serta mengambil suplemen vitamin tertentu seperti vitamin K untuk masalah pendarahan.
Bagi jangkitan HAV iaitu yang paling banyak berlaku bagi hepatitis akibat jangkitan virus, kebanyakan pesakit sembuh akan sendiri dan tidak perlu dimasukkan ke wad. Pesakit HAV dianggarkan pulih sepenuhnya selepas kira-kira 45 hari, dan virus tersebut juga akan hilang sepenuhnya dari badan pesakit.
Jangkitan HBV dan HCV bagaimanapun mungkin memerlukan rawatan ubat tertentu seperti interferon, ubat bagi mengurangkan replikasi virus dan ubat untuk menggalakkan penghasilan antibodi. Hampir 10% pesakit HBV dan sehingga 50% pesakit HCV mungkin akan menghidap sirosis dan kanser hati. Dari segi keberkesanan ubat yang digunakan pula, jangkitan HCV lebih sukar dirawat kerana kadar keberkesanan rawatan cuma 40% berbanding 60% untuk HBV.
Pemindahan Hati
Kebolehan istimewa hati untuk tumbuh semula memudahkan pendermaan hati memandangkan hanya sebahagian kecil organ tersebut diperlukan untuk transplan kepada pesakit yang memerlukan. Tisu hati juga dapat tumbuh kembali menjadi organ hati yang penuh walaupun jika cuma tinggal 25% tisu hati yang sihat.
Walaubagaimanapun pemindahan hati selalunya dilakukan bagi kes hepatitis yang bukan berpunca daripada jangkitan virus atau kuman. Pesakit yang mengalami kerosakan hati akibat jangkitan mempunyai risiko hati baru yang dipindahkan turut dijangkiti.
Jika tiada lagi virus atau kuman punca hepatitis di dalam badan pesakit, doktor mungkin akan menimbangkan untuk melakukan pemindahan hati. Pemindahan hati untuk hepatitis yang berpunca daripada bahan kimia atau toksin lebih mudah dilakukan.
Namun, sebarang toksin perlu dibuang terlebih dahulu dan pesakit yang ketagihan (ubat atau alkohol) perlu dipulihkan dahulu sebelum pemindahan hati dijalankan.
Ini dapat mengelakkan pembaziran hati yang didermakan kerana ia juga akan rosak jika toksin, ubat atau alkohol terus diambil pesakit. Antara individu yang akan mendapat manfaat besar melalui pemindahan hati adalah pesakit hepatitis autoimun.
Janganlah kita mengabaikan kesihatan mana-mana organ sekalipun, termasuk hati, dengan alasan ia dapat pulih sendiri dan tidak membawa maut dengan serta-merta. Bayangkan hati seperti otak dan tulang belakang yang membolehkan kita menggerakkan badan serta menjalankan aktiviti harian.
Tanpa hati, kita bukan sahaja akan mati, malahan akan hilang kawalan dalam fungsi kimia utama badan yang tidak jauh bezanya dari perlahan-lahan menjadi lumpuh. Sayang diri, sayang hati.
http://www.sihatselalu.com.my/2009/04/fungsi-organ-hati.html
No comments:
Post a Comment