Radang Hati


Pakar Gastroenterologi dan Ketua Jabatan Perubatan Hospital Putrajaya, Datuk Dr. Ahmad Shukri Md. Salleh menjelaskan hati juga mempunyai dua bahagian utama, kiri dan kanan, beserta pundi hempedu di bawahnya.

Kebanyakan masalah dan penyakit hati melibatkan penyakit kuning (jaundice) akibat peningkatan bilirubin, bahan sampingan hasil kematian sel darah merah. Kebiasaannya, hati yang sihat akan menapis bilirubin dari darah dan membuangnya melalui hempedu. Bagi hati yang rosak, termasuk akibat hepatitis, proses penapisan bahan sampingan ini mungkin terjejas. Ianya juga berlaku disebabkan gangguan pengaliran air hempedu di dalam hati disebabkan sel yang membengkak dan rosak.

Kebanyakan kes hepatitis (radang hati) berlaku akibat jangkitan virus, seperti mana Influenza H1N1 menyerang paru-paru. Namun, hepatitis juga boleh berlaku akibat racun tertentu, penyakit autoimun atau penyakit keturunan. Hepatitis boleh membentuk sirosis iaitu pembentukan tisu parut pada hati bagi menggantikan sel hati yang mati akibat jangkitan virus, ketagihan alkohol atau bahan kimia tertentu. Sirosis pula boleh membawa kepada kanser hati!

"Hepatitis sememangnya menggerunkan. Saya pernah berjumpa pesakit yang menangis tiba-tiba, ketakutan akibat terlalu banyak maklumat, dan mungkin telah salah faham mengenai situasi yang dihadapinya. Radang hati melibatkan virus hepatitis jenis A, B, C, D, E, F dan G. Namun, virus hepatitis B (HBV) dan virus hepatitis C (HCV) merupakan yang paling menggerunkan," kata Dr. Ahmad Shukri.

Menurutnya, sirosis terbentuk daripada hepatitis kronik setelah bertahun-tahun dijangkiti virus tersebut. Di bawah mikroskop elektron, virus hepatitis kelihatan seperti bunga bulat tetapi sangat bahaya. "Malaysia dan rantau Asia mencatatkan paling banyak penyebaran virus hepatitis secara menegak (vertical), dari ibu kepada anak, dalam kandungan atau semasa dilahirkan. Dan, hanya HBV yang boleh dijangkiti secara menegak.

"Namun, ada juga pesakit yang dijangkiti HBV atau HCV ketika sudah dewasa, pada usia 30-an atau 40-an, melalui perkongsian jarum, pemindahan darah atau organ, dan juga jika mereka sering bertukar pasangan seks." Oleh itu, perlu difahami bahawa untuk HBV dan HCV, darah menjadi punca penyebaran utama. Hepatitis bukannya satu penyakit keturunan atau genetik!

HCV tidak disebarkan secara menegak tetapi boleh berjangkit melalui kaedah lain yang disebutkan tadi. Di Malaysia, lebih banyak kes hepatitis B dilaporkan berbanding hepatitis C berikutan keupayaan HBV berpindah dari ibu kepada anak. "Pesakit yang memuntahkan darah akibat bengkak atau radang hati juga biasa disalah anggap sebagai telah disantau orang," jelas Dr. Ahmad Shukri.

http://www.izieherb.net/hepatitis.htm

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...