“SAYA tidak sangka besarnya dugaan Tuhan kali ini kepada saya. Namun saya reda dan tabah menghadapinya. Selagi masih ada hayat, saya akan terus berusaha mendapatkan bantuan untuk suami saya walau dengan apa daya sekalipun kerana saya sudah tidak mampu melihat dia menderita akibat penyakit hati yang ditanggungnya kini,” luah Ramlah Zainal, isteri kepada Amir Shah Osman, 55, yang baru-baru ini disahkan menghidap penyakit sirosis hati atau pengerasan hati.
Dia yang kini terlantar sakit di rumahnya di Bangsar, Kuala Lumpur hanya menunggu masa untuk menjalani pembedahan pemindahan hati di India sekiranya kos rawatan yang menelan ratusan ribu ringgit berjaya dikumpul dalam masa terdekat. Jika ada penderma hati sepadan yang sudi mendermakan hati kepada Amir, kemungkinan pembedahan akan dilakukan di Malaysia.
Menurut Ramlah, melihat keadaan Amir sekarang, dia sendiri tidak menyangka kerap demam dan bengkak kaki adalah tanda suaminya menghidap penyakit hati. Dulu dia seorang yang aktif dan kuat bekerja, namun pada 2009, Amir kerap demam dan mengadu bengkak kaki.
“Saya tidak pernah menyangka kerap demam dan bengkak kaki adalah petanda dia menghidap penyakit hati. Biasanya dia demam dan baik apabila makan ubat.
“Selepas pulih, seminggu selepas itu dia demam semula diikuti bengkak pada kaki. Saya ingatkan hanya demam biasa, tambah pula suami saya tidak menunjukkan tanda yang lain atau mengadu sakit. Malah dia juga meminta saya supaya tidak bimbang dengan kesihatannya,” luah Ramlah yang juga wartawan hiburan Harian Metro.
Lama-kelamaan demam suaminya itu semakin teruk sehingga pernah suatu hari mencecah 40 darjah Celsius. Selepas mendapatkan rawatan, doktor mengesahkan yang hatinya sudah rosak dan tinggal 10 peratus saja lagi.
“Saya terkejut menerima berita dia menghidap penyakit kronik. Lebih membuatkan saya terkilan apabila Amir pernah merahsiakannya daripada saya yang doktor pernah memintanya supaya menjalani pembedahan hati pada 2009.
“Namun permintaan doktor ini tidak diendahkan kerana katanya, dia tidak mahu menyusahkan saya. Jika pembedahan ini dilakukan sudah tentu penyakitnya tidak seperti sekarang,” katanya.
Lebih membuatkan rasa sedih apabila doktor memberitahu pembedahan pemindahan hati harus dilakukan segera bagi membolehkan Amir menjalani kehidupan seperti orang lain. Namun, kos pembedahan menelan belanja ratusan ribu ringgit, tambahan pula Amir sudah berhenti kerja sejak April lalu dan hanya mengharapkan pendapatan Ramlah.
“Doktor memberitahu penyakit hati yang Amir alami boleh mengakibatkan kanser hati sekiranya tidak diberi rawatan segera. Oleh itu, saya merayu supaya ada pihak yang tampil mendermakan hati kepada suami saya bagi membolehkannya meneruskan kehidupan seperti biasa bersama keluarga. Walaupun terbit juga rasa malu kerana terpaksa merayu meminta bantuan, saya terpaksa melakukannya untuk melihat suami saya pulih seperti biasa,” katanya sayu.
Menurut Ramlah, walaupun pembedahan boleh dilakukan di Hospital Selayang, sehingga kini tiada penderma untuk Amir dan tempoh menunggu penderma mungkin memakan masa yang lama. Justeru, Amir berkemungkinan akan menjalani pembedahan di India pada penghujung bulan ini.
“Memikirkan tahap kesihatan Amir semakin teruk, kami bercadang membawa Amir menjalani rawatan di India kerana kosnya jauh lebih murah berbanding negara lain. Di sana juga mudah mendapatkan penderma yang sudi memberikan hati kepada Amir,” katanya.
Walaupun pasangan suami isteri ini melakukan pelbagai usaha mendapatkan rawatan doktor pakar dan rawatan alternatif bagi memulihkan radang hati yang kini mengakibatkan kemusnahan sel pada organ tubuh Amir, tiada kesan positif diterima.
Kesan daripada kerosakan hati ini menyebabkan kakinya semakin membengkak dan dikhuatiri akan merebak sehingga kaki sebelah kiri sekiranya pembedahan tidak dilakukan segera. Perutnya juga semakin lama semakin membuncit akibat masalah ini.
Menurut Amir, dia reda dengan dugaan Tuhan ini, namun dia sedih melihat isteri dan anaknya yang terpaksa melihat penderitaannya. Kalau boleh biar dia seorang menanggungnya.
Menceritakan keadaannya kini, menurut Amir, dia sukar berjalan disebabkan sebelah kaki membengkak manakala perutnya membuncit. Mujur dia masih berselera makan sekurang-kurangnya dapat memberikan tenaga untuk bergerak.
“Sejak dua tahun lalu memang saya kerap demam, namun saya tidak menyangka ia petanda saya menghidap penyakit kronik. Lagipun saya tidak mahu menyusahkan keluarga sebab itu saya biarkan saja sekiranya demam dan hanya makan ubat.
“Selepas disahkan doktor barulah saya terfikir kembali mengenai semua tanda itu namun reda dengan ketentuan Tuhan,” katanya.
Kini Amir mengharapkan agar ada penderma yang sudi memberikan hati kepadanya supaya dia dapat menjalani kehidupan bersama anak dan isteri seperti dulu.
Bagi membantu meringankan beban pasangan ini, Kelab Kebajikan, Sukan dan Rekreasi, Jabatan Pengarang NSTP akan menganjurkan Karnival Amal Syawal bagi menampung kos pembedahan pemindahan hati Amir.
Karnival Amal Syawal akan diadakan pada Sabtu, 17 September ini bermula pada jam 12 tengah hari sehingga 7 petang bertempat di Balai Berita, Jalan Riong, Bangsar.
Antara artis yang akan menjual lelongan barangan peribadi mereka termasuk Shaheizy Sam, Intan Ladyana, Yana Shamsuddin, Eja, Alyah, Fahrin Ahmad, Fouziah Gous, Ifa Raziah, Farah Asyikin dan Aznil Nawawi.
http://www.hmetro.com.my/articles/2011091321480020110913214800/Article
No comments:
Post a Comment