Ekstrak Kelapa Sawit Bantu Cegah Penyakit Hati dan Otak

PULAU PINANG, 10 Ogos: Pokok kelapa sawit bukan sahaja menghasilkan minyak yang berkualiti.

Malah kini, satu jenis vitamin E, yang juga dikenali sebagai ‘tocotrienol’, dikenalpasti berupaya membantu dalam pencegahan kerosakan otak akibat kecederaan zon putih otak (White Matter Lesion).

Menerusi kajian yang dijalankan oleh sekumpulan penyelidik Pusat Pengajian Sains Farmasi dan Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) Universiti Sains Malaysia (USM), vitamin E kelapa sawit ini juga mampu menghalang kerosakan hati akibat pengumpulan lemak yang boleh kemudiannya membawa kepada kegagalan hati.

Penyelidikan yang diterajui oleh Prof. Yuen Kah Hay dan Prof. Ibrahim Lutfi Shuaib bermula sejak tahun 2007 dan dibiayai menerusi geran penyelidikan Lembaga Minyak Sawit Malaysia bernilai lebih RM4 juta.

Menurut Prof. Ibrahim Lutfi Shuaib, ‘White Matter Lesion’ ini memberikan gambaran pengurangan aliran darah ke bahagian otak seseorang dan kerap memperlihatkan potensi risiko bagi seseorang itu berhadapan dengan penyakit angin akhmar.

“Kita pada awalnya mengambil sejumlah 400 sukarelawan yang kemudiannya diklasifikasikan kepada dua kumpulan iaitu kumpulan MRI dan bukan MRI.

“Kumpulan MRI terlibat di dalam kajian bagi tempoh dua tahun sementara kumpulan bukan MRI hanya bagi tempoh 1 tahun. Sub-kumpulan dalam kedua-dua kumpulan ini seterusnya diberikan kapsul tocotrienol 400mg setiap hari. Berdasarkan kajian ini, kita mendapati tocotrienol memberikan kesan positif kepada sukarelawan yang terlibat ini,” kata beliau ketika membentangkan hasil kajian kepada Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Malaysia, Tan Sri Bernard Giluk Dompok di Bilik Persidangan Canselori.

Turut hadir di dalam pembentangan yang sama ialah Datuk Dr. Mohd Basri Wahid, Ketua Pengarah, Lembaga Minyak Sawit Malaysia, Prof. Asma Ismail, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) USM, Prof. Madya Syed Azhar Syed Sulaiman, Dekan Pusat Pengajian Sains Farmasi USM, Dr. Hj. Ramli Saad, Pengarah IPPT USM, David Ho, Pengarah Urusan, Hovid Berhad dan M. Nagarajan, Setiausaha Bahagian (Minyak Sayuran, Lelemak dan Sago), Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi Malaysia.

Dalam pembentangan yang sama, Enrico Magosso daripada Pusat Pengajian Sains Farmasi pula berkata pihaknya telah menjalankan kajian kepada 60 sukarelawan dewasa yang menerima 400mg tocotrienol dan kajian tersebut menunjukkan perubahan positif kepada 50% sukarelawan yang mengambil bahagian.

“Hasil kajian ini akan dibentangkan kepada 'Liver Meeting of the American Association for the Study of Liver Diseases' di Boston, Amerika Syarikat,” kata beliau.

Tambah beliau lagi, Non-Alcoholic Fatty Liver Disease' (NAFLD) tidak mempunyai terapi ubat dan kajian yang dijalankan oleh mereka adalah yang pertama untuk menunjukkan bahawa tocotrienol yang dijual sebagai makanan tambahan boleh merawat penyakit itu.
http://hovid-bio.blogspot.com/2010/10/penemuan-usm-ekstrak-kelapa-sawit-bantu.html

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...