Fahami Penyakit Hepatitis ‘Pembunuh Senyap’

APA anda akan lakukan apabila diri selalu keletihan, mengalami gatal-gatal dan kekuningan pada kulit serta mata (jaundis) dan sakit atau kembung perut? Cara paling mudah pasti ke farmasi terdekat dan membeli ubat-ubatan yang disyorkan sesuai dengan masalah kesihatan berkenaan.
Itulah antara sikap yang ada dalam diri kita. Sentiasa mengambil ringan dan beranggapan ‘tak apa’ terhadap penyakit yang tidak menampakkan kesannya secara luaran.
Namun pernahkah anda terfikir masalah yang dianggap kecil itu berkemungkinan besar boleh mengakibatkan satu penyakit yang serius dan sukar dirawat?

Berdasarkan tanda di atas, jangan terkejut jika dinyatakan bahawa anda berisiko tinggi menghidap penyakit hepatitis. Perkataan ini mesti sudah biasa didengar, manakan tidak, menerusi pelbagai kempen dan iklan di media massa serta forum, bahaya penyakit ini banyak diperkatakan.
Foto
JAUNDIS...mata kekuningan antara tanda awal anda menghidap hepatitis.

Tetapi persoalannya, sejauh mana pemahaman anda mengenai penyakit yang dikategorikan sebagai pembunuh senyap ini?

Hepatitis adalah sejenis penyakit keradangan hati yang disebabkan oleh jangkitan virus. Setakat ini, terdapat lima jenis hepatitis dan paling lazim didengar dan dihidapi adalah hepatitis A, hepatitis B (HBV) dan hepatitis C (HCV).

Perunding Gastroenterologi dan Hepatologi Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr Ganesananthan Shanmuganthan, berkata penyakit ini boleh hidup di dalam tubuh seseorang selama bertahun-tahun lamanya sebelum menimbulkan petanda atau gejala.

“Hepatitis A ialah jangkitan paling lazim bagi pelancong yang boleh dicegah dengan imunisasi. Selain itu, sebenarnya ramai orang sihat yang dijangkiti virus HBV atau HCV tetapi mereka masih belum dapat dikesan berikutan kesedaran mengenai penyakit ini secara keseluruhannya masih rendah.

“Lebih membahayakan lagi apabila HBV dan HCV boleh menyebabkan komplikasi lain yang serius seperti hepatitis kronik, sirosis serta kanser hati berbanding hepatitis A yang lebih mudah dirawat.

“Virus ini akan mengaktifkan sistem imunisasi anda untuk melancarkan sistem pertahanan dan mengakibatkan hati mengalami keradangan serta kerosakan. Dalam kes kronik, hati membentuk sirosis dan kanser yang boleh membawa maut,” katanya pada Forum Hepatitis Made Easy, sempena sambutan Hari Hepatitis Sedunia pada 28 Julai lalu.

Tambahnya, HBV merebak melalui pendedahan kepada darah dan bendalir badan orang yang dijangkiti dan cara jangkitannya yang paling kerap berlaku di Asia Pasifik adalah melalui penularan daripada ibu pembawa virus berkenaan kepada bayi ketika bersalin.

HCV pula berjangkit melalui pendedahan darah tercemar daripada pembawa virus.
Misalnya perkongsian alatan suntikan ubat ataupun dadah. Virus ini jarang merebak melalui bendalir badan yang lain dan sesiapa yang menerima pemindahan darah sebelum 1993 berisiko tinggi dijangkiti HCV kerana ujian saringan darah hanya bermula di seluruh dunia pada 1990.

Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menganggarkan 600,000 orang maut setiap tahun disebabkan oleh hepatitis B manakala 1.4 juta kes hepatitis A direkodkan berlaku setiap tahun.


Hepatitis B

Hepatitis B atau dikenali sebagai HBV adalah virus yang menyerang hati dan boleh menyebabkan jangkitan akut atau kronik. HBV merebak melalui pendedahan kepada darah dan bendalir badan orang yang dijangkiti.

Ia banyak dilaporkan di Asia khususnya di China. Kebanyakan penghidap hepatitis B di rantau ini dijangkiti virus berkenaan ketika kecil dan dianggarkan lapan hingga 10 peratus penduduk dewasa Asia mendapat jangkitan kronik.

Kebanyakan pesakit dewasa yang mengalami kesan kronik mendapat jangkitan ketika kecil dan kebanyakannya meninggal dunia akibat kanser hati atau sirosis.
Virus HBV

adalah 50 hingga 100 kali lebih mudah berjangkit daripada HIV namun ia boleh dicegah melalui suntikan vaksin yang sudah diperkenalkan sejak 1989.


Tanda jangkitan hati:

  • Kekuningan pada kulit dan mata (jaundis)
  • Keletihan
  • Kegatalan kulit
  • Air kencing menjadi gelap
  • Sakit atau kembung perut
  • Usus berdarah
  • Ujian darah menunjukkan fungsi hati yang tidak normal

    Virus ini mengambil masa antara beberapa bulan hingga setahun untuk pulih.
    Namun apa yang lebih penting untuk disematkan dalam fikiran, HBV juga menyebabkan jangkitan hati kronik yang boleh berkembang menjadi sirosis atau kanser hati.

    Kanser hati yang disebabkan HBV antara tiga penyebab pertama kematian penghidap kanser di kalangan lelaki manakala menjadi punca utama di kalangan wanita.

    Kemungkinan jangkitan HBV menjadi kronik bergantung kepada umur ketika dijangkiti. Lebih muda umur ketika dijangkiti HBV, lebih tinggi risiko untuk jangkitan menjadi kronik. Risiko inilah yang ditanggung 90 peratus bayi yang mendapat jangkitan pada tahun pertama kelahiran dan 30 hingga 50 peratus kanak-kanak yang dijangkiti HBV pada usia satu hingga empat tahun.


    Hepatitis C

    Hepatitis C adalah sejenis penyakit yang menjejaskan hati. Virus HCV merebak apabila darah seseorang yang dijangkiti virus ini memasuki badan seseorang yang
    sihat.

    Dalam sesetengah kes, hati mampu menghapuskan virus ini dan kesihatannya akan kembali pulih seperti sedia kala dengan sendirinya. Namun, 85 peratus kes mencatatkan hepatitis C adalah satu keadaan kronik sepanjang hayat.

    Hati yang sihat menjalankan banyak tugas yang penting iaitu memproses alkohol dan ubat-ubatan selain mengeluarkan jus pencernaan untuk memproses makanan yang anda makan.

    Ia juga membantu pembekuan darah, melawan jangkitan dan menyahkan bahan toksik serta kumuhan daripada darah. Tetapi, apabila HCV mula memasuki badan, ia menuju ke hati melalui saluran darah.

    Di dalam hati, HCV boleh menimbulkan radang yang menyebabkan tisu hati menjadi bengkak dan merengsa. Tisu yang sudah bengkak itu kemudiannya bertukar menjadi parut tisu (fibrosis). Apabila hati sudah berparut, keberkesanan fungsinya juga turut terjejas. Kerosakan hati yang berlarutan boleh menyebabkan masalah kesihatan serius sehingga membawa maut.

    Kesan hepatitis C berbeza mengikut individu. Sesetengah orang akan mengalami masalah kesihatan yang serius dalam masa lima tahun selepas dijangkiti virus ini.

    Sebaliknya, ramai yang menghidap hepatitis C tidak menunjukkan sebarang tanda meskipun sudah dijangkiti selama 20 tahun atau lebih.

    Inilah yang membuatkan sukar bagi anda mempercayai yang anda sudah dijangkiti kerana anda mungkin berasa sihat walaupun hakikatnya menghidap penyakit ini.


    Terdapat empat peringkat pembentukan parut tisu:

    1. Peringkat pertama
    HCV menyebabkan radang hati dan ia merosakkan sebahagian daripada hati. Parut tisu kecil mula terbentuk tetapi ia di tahap tidak akan menjejaskan fungsi hati.

    2. Peringkat kedua dan ketiga
    Semakin banyak tisu hati akan rosak lalu mengakibatkan parut tisu semakin bertambah. Tisu hati yang masih sihat cukup untuk membolehkan hati menjalankan tugasnya.

    3. Peringkat keempat
    Hati mengalami kerosakan yang teruk dan parut tisu semakin bertambah. Ini disebut sirosis di mana hati mungkin tidak dapat menjalankan tugasnya dengan sempurna malah ada kemungkinan ia akan berhenti menjalankan tugasnya sama sekali.

    Bagaimana jangkitan berlaku?
  • Penyuntikan dadah, walaupun hanya sekali.
  • Menjalani pemindahan darah atau transplan organ sebelum 1992 atau faktor pembekuan yang dihasilkan sebelum 1987 (kini semua produk berkenaan disaring untuk mengesan HCV).
  • Menjalani dialisis buah pinggang untuk tempoh berpanjangan.
  • Mencacah tubuh atau bertindik.
  • Mengadakan hubungan seks tanpa perlindungan dengan pasangan yang sudah dijangkiti (jangkitan melalui hubungan seks tanpa perlindungan amat jarang berlaku namun kebarangkalian dijangkiti lebih tinggi di kalangan mereka yang mempunyai banyak pasangan
  • Akupuntur.
  • Pemindahan daripada ibu kepada bayi semasa bersalin.


    Ujian darah boleh dilakukan untuk mengesan bahan di dalam darah anda yang dikaitkan dengan hepatitis C. Ini termasuk:
  • Anti HCV (sejenis antibodi)
  • ALT (sejenis enzim hati)
  • HCV RNA (cebisan bahagian virus berkenaan)
  • Genotip (satu strain virus ini)

    Selepas menjalani ujian darah, pastikan anda mengambil tindakan susulan dengan bantuan pakar penjagaan kesihatan kerana semakin lama jangkitan hepatitis C tidak dirawat, semakin tinggi risikonya anda akan mengalami masalah kesihatan kronik yang lain.

    Untuk mengesan HCV, darah yang diambil akan dihantar ke makmal. Anda mungkin terpaksa menunggu beberapa minggu sebelum mendapat hasil ujian itu.

    Selain itu, anda juga mungkin terpaksa menjalani lebih daripada satu ujian darah, bergantung kepada gaya hidup dan hasil ujian terdahulu. Ini bagi membantu pakar penjagaan kesihatan membuat diagnosis.


    Mengesan kerosakan hati:
  • Ujian ultrabunyi. Menggunakan gelombang bunyi yang tidak mendatangkan rasa
    sakit untuk melakarkan gambar hati.
  • Imbasan CT. Sejenis sinaran-x yang menunjukkan secara terperinci gambar
    hati.
  • Biopsi hati. Untuk ujian ini, sebatang jarum digunakan bagi mengambil sedikit sampel tisu hati. Tisu berkenaan akan diperiksa melalui mikroskop untuk mengesan sama ada terdapat keradangan dan parut tisu.

    Rawatan

    Hepatitis C dirawat menggunakan satu atau dua jenis ubat yang membantu badan anda mengatasi HCV. Rawatan ini memerlukan masa dan komitmen. Di kalangan pesakit tertentu, rawatan ini dapat menghapuskan semua HCV daripada badannya.

    Pegylated Interferon adalah sejenis protein yang membantu sistem imun. Ia disuntik ke dalam badan hanya sekali seminggu selama 12 bulan. Kebanyakan pesakit diajar untuk menyuntik diri sendiri di rumah. Ubat ini biasanya diberi bersama ribavirin yang bertindak menyukarkan HCV daripada terus membiak di dalam badan. Tetapi jika pesakit tidak boleh mengambilnya, ia akan diberikan secara bersendirian.


    Golongan terdedah kepada aktiviti di bawah ini berisiko tinggi untuk dijangkiti:
  • Berkongsi alatan suntikan ubat ataupun dadah.
  • Berkongsi pisau cukur, berus gigi dan peralatan lain seperti gunting kuku yang mungkin tercemar dengan darah.
  • Penggemar tatu dan menindik telinga atau badan dengan alatan yang tidak dibasmi kuman.
  • Menerima darah tercemar melalui pemindahan darah sebelum saringan virus hepatitis diperkenalkan.
  • Penularan daripada ibu penghidap HBV kepada bayi ketika bersalin antara cara penyebaran paling kerap.


    Mesej penting yang boleh dijadikan panduan bagi mengelakkan jangkitan virus ini :
  • Pencegahan
    Mengetahui risiko HBV dan HBC adalah langkah penting mencegah jangkitan baru.
  • Diagnosis
    Menjalani ujian darah adalah cepat dan mudah. Sekiranya seseorang berasa mereka berisiko tinggi, mereka perlu menjalani ujian saringan serta-merta.
  • Perlindungan
    Terdapat vaksin untuk HBV dan penyakit ini dapat dicegah melalui imunisasi.
  • Rawatan
    Rawatan untuk kebanyakan virus berkenaan adalah berkesan.


    Kumpulan berisiko tinggi perlu vaksin:
  • Mereka yang gemar melakukan hubungan seksual dengan ramai pasangan.
  • Rakan dan kenalan isi rumah yang dijangkiti HBV.
  • Penagih dadah.
  • Mereka yang sering memerlukan pemindahan darah.
  • Penerima pemindahan organ pepejal.
  • Pekerja yang berisiko mendapat jangkitan misalnya pekerja kesihatan.
  • Pelancong antarabangsa.

  • http://www.hmetro.com.my/articles/Fahamipenyakit__8216_pembunuhsenyap__8217_/Article

    No comments:

    Post a Comment

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...