Simptom ‘Ringan’ Hepatitis C

Oleh Hidayatul Akmal Ahmad

Jika anda mengalami masalah kesihatan seperti demam, sakit di bahagian kanan badan, lemah atau lesu, anda disaran segera berjumpa doktor. Ini kerana simptom yang dianggap ‘ringan’ itu mungkin petanda anda penghidap hepatitis C (HCV).

Hepatitis C juga dikenali de­ngan jolokan pembunuh senyap kerana hampir 80 peratus penghidapnya tidak tahu mereka dijang­kiti sehingga bertahun-tahun malah berpuluh-puluh tahun.


Lebih membimbangkan, kira-kira 160 juta orang di seluruh dunia dijangkiti hepatitis C secara kronik manakala 350,000 kematian dianggarkan setiap tahun akibat penyakit hati yang berkait dengan HCV. Hepatitis C adalah penyakit yang sukar dikesan kerana selalu menyerang tanpa membawa kesan khusus atau tidak berpanjangan.

Pakar Gastroenterologi dan Hepatologi, Fakulti Perubatan, The Chinese University of Hong Kong, Prof Dr Henry Chan, berkata walaupun ujian darah boleh me­ngesan kehadiran HCV dengan mudah, kebanyakan kumpulan berisiko tinggi enggan berbuat demikian.
FotoSEGERA jumpa doktor untuk ujian jika terasa sakit di bahagian kanan badan.

“Ramai yang masih belum peka terhadap simptom hepatitis C kerana berasakan mereka tidak sakit, kurang mengambil berat terhadap simptom yang dianggap ringan seperti demam atau cepat letih.

“Perkara ini amat menyedih­kan kerana kebanyakan kes hepatitis C diketahui selepas usia 40 tahun walaupun ramai pesakit dipercayai dijangkiti virus berkenaan lebih awal.

“Kebanyakan pesakit menyedari tubuh mereka menjadi habitat virus selepas tahap kesihatan bertambah teruk,” katanya pada Sesi Pendidikan Media Memahami Penyakit Hepatitis C di Kowloon, Hong Kong, baru-baru ini.

Menurut Dr Chan, antara kekangan utama masyarakat sukar mengetahui mengenai hepatitis C ialah tiada sebarang gejala khusus, kurang kesedaran, stigma, kekurangan pembiayaan, kurang membuat pemeriksaan selain kurang publisiti mengenainya.

Di rantau Asia Pasifik, kira-kira 27 peratus saja orang awam yang mengetahui mengenai hepatitis C, 22 peratus tahu ia boleh dirawat manakala 19 peratus lagi faham mengenai akibat jika tidak dirawat.

Dr Chan berkata, kesan hepatitis C berbeza mengikut individu yang mana sesetengahnya me­ngalami masalah kesihatan yang serius dalam masa lima tahun selepas dijangkiti virus ini.

Sebaliknya, ramai yang menghidap penyakit ini tidak menunjukkan sebarang tanda meskipun sudah dijangkiti selama 20 tahun atau lebih. Katanya, keadaan itu menyebabkan sukar bagi seseorang mempercayai yang dirinya dijangkiti kerana mungkin berasa sihat walaupun hakikatnya menghidap penyakit itu.

Mengulas lanjut, Dr Chan berkata hati yang sihat menjalankan banyak tugas yang penting iaitu memproses alkohol dan ubat-ubatan selain mengeluarkan jus pencernaan untuk memproses makanan.

Turut berfungsi membantu pembekuan darah, melawan jangkitan dan menyahkan bahan toksik serta kumuhan daripada darah. Namun, apabila HCV mula memasuki badan, ia menuju ke hati melalui saluran darah.

Di dalam hati, beliau berkata, HCV boleh menimbulkan radang yang menyebabkan tisu hati menjadi bengkak dan merengsa. Tisu yang sudah bengkak itu kemudiannya bertukar menuju ke hati melalui saluran darah.

Apabila hati sudah berparut, keberkesanan fungsinya juga turut terjejas. Kerosakan hati yang berlarutan menyebabkan masalah kesihatan serius sehingga membawa maut.

Sementara itu, Pakar Perubatan, Sekolah Perubatan, Kolej Universiti Perubatan Kaohsiung, Prof Dr Ming Lung pula berkata, walaupun pesakit hepatitis C berpeluang sembuh, kejayaan rawatan bergantung kepada tahap kerosakan hati pesakit.

Peluang pesakit untuk sembuh, kata beliau, lebih tinggi jika mendapat rawatan awal. Rawatan hepatitis C bagaimanapun bukan semudah yang disangkakan apatah lagi tiada jaminan pesakit sembuh sepenuhnya. Keadaan ini katanya, sering menyebabkan pesakit takut menghadapi perjalanan rawatan yang sukar.

“Terdapat dua kaedah rawatan dan yang pertama ialah melalui suntikan sekali seming­gu, iaitu stimulasi imun badan pesakit untuk menentang virus.

“Rawatan ini tidak khusus kerana pesakit akan menerima kesan sampingan seperti sakit badan dan demam. Rawatan memakan masa kira-kira 48 minggu, ramai pesakit tidak tahan dan takut untuk menjalani rawatan ini.

“Kaedah kedua ialah meng­gunakan ubat yang didapati berupaya menghentikan pembiakan HCV walaupun saintis masih gagal menguasai secara 100 peratus bagaimana ubat itu berfungsi.

“Masalah ubat ini ialah bersifat toksik kepada sel darah merah, menyebabkan hemo­globin berkurangan dan membawa kepada amenia. Walaupun rawatan itu menimbulkan kesan tidak diingini, ia tetap dijalankan kerana HCV tidak akan hilang dengan sendiri­nya, rawatan segera menjanjikan peluang penyembuhan yang lebih baik,” katanya.


INFO:

Faktor risiko jangkitan hepatitis C

- Berkongsi peralatan suntikan ubat.
- Pemindahan darah/organ sebelum pemeriksaan diperkenalkan (di Malaysia sebelum 1994).
- Berkongsi menggunakan peralatan yang tidak disteril dalam bidang perubatan atau pergigian.
- Tatu dan bertindik menggunakan perkakas tidak disteril
- Cedera tercucuk picagari (petugas kesihatan)
- Aktiviti seks tanpa perlindungan atau banyak pasangan
- Pemindahan dari ibu kepada bayi sewaktu bersalin
- Akupuntur
- Suntikan dadah, walaupun hanya sekali

Ujian darah kesan bahan dalam darah dan kaitannya dengan hepatitis C.

Ini termasuk:


- Anti HCV (sejenis antibodi)
- ALT (sejenis enzim hati)
- HCV RNA (cebisan bahagian virus berkenaan)
- Genotip (satu strain virus ini)

http://www.hmetro.com.my/articles/Simptom__8216_ringan__8217_hepatitisC/MA/Article

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...