Hepatitis B dan Kehamilan

 

Penyakit Hepatitis B seperti juga Hepatitis A merupakan sejenis jangkitan dari kuman virus yang menyebabkan keradangan pada organ hati atau hepar. Selalunya ia tidak menunjukkan sebarang gejala yang jelas. Dengan kata lainnya, anda tidak merasakan yang anda sedang sakit. Kebanyakan gejala yang wujud semasa jangkitan di peringkat akut adalah tidak spesifik, hanya terasa seperti terkena selesema, terasa sengal-sengal badan, hilang selera makan, loya serta muntah. Kadangkala terdapat sakit-sakit sendi dan ruam di badan.

Seseorang yang dijangkiti sama ada diketahui ataupun tidak akan sembuh sepenuhnya dari gejala-gejala yang timbul, waluapun sesetengah dari mereka mengambil masa berbulan-bulan. Jarang sekali keadaan ini membawa kepada masalah kegagalan hati yang boleh membawa maut. Ia hanya berlaku kurang separuh dari kes-kes ini. Walau bagaimanapun, tumpuan sebenar mengenai penyakit Hepatitis B ini, ialah peranannya sebagai penyebab utama penyakit hati seperti Kronik Hepatitis dan Kanser Hati Pimer.

Selepas dijangkiti seseorang itu akan sembuh sepenuhnya dan ia akan mendapat imuniti atau keimunan terhadap jangkitan seterusnya. Walau bagaimanupun, terdapat sesetengah dari pesakit akan membawa kuman virus di dalam badannya dengan ataupun tanpa menunjukan gejala-gejala tertentu. Mereka merupakan pembawa yang kronik iaitu sumber penyebaran kuman virus. Seorang ibu yang menjadi pembawa kuman ini boleh menyebarkan virus kepada anak dalam kandungannya. Keadaan ini juga boleh berlaku ketika di peringkat jangkitan awal atau akut, terutamanya dalam masa 3 bulan terakhir sebelum kelahiran.

Penyakit ini merebak melalui darah atau produk darah. Perebakan juga boleh berlaku melalui aktiviti-aktiviti seksual terutamanya bagi amalan-amalan seks yang tidak selamat. Ia juga boleh merebak melalui ibu kepada anak semasa mengandung. Jangkitan akut yang berlaku di peringkat akhir kehamilan iaitu di sekitar masa kelahiran merupakan jangkitan dari ibu kepada anak sebelum atau semasa kelahiran.

Penyakit ini lebih biasa dan banyak berlaku di dunia sebelah sini dan peluang untuk merebak dari ibu kepada anak adalah lebih tinggi. Kementerian Kesihatan Malaysia telah melancarkan satu program aktif yang melibatkan saringan ibu-ibu mengandung. Rawatan-rawatan tertentu akan diberi kepada bayi yang ibunya dikenalpasti merupakan pembawa kuman virus atau telah mendapat jangkitan semasa mengandung. Ini dilakukan untuk mencegah perebakan penyakit dari ibu kepada bayi.
 
Faktor - faktor risiko ?
  • Penyalahgunaan dadah melalui suntikan - sekarang atau di masa yang lalu.
  • Mengamalkan kegiatan seks yang tidak selamat seperti mempunyai berbilang pasangan.
  • Penerima pemindahan darah atau produk darah
  • Mempunyai sejarah penyakit hati yang akut atau kronik
  • Seringkali terdedah kepada darah atau prosedur pergigian dalam sesuatu pekerjaan.
  • Ditolak sebagai penderma darah.
  • Mempunyai sejarah dijangkiti penyakit kelamin
  • Menghidap masalah gangguan pada tindak balas sistem imun.
  • Mempunyai hubungan dengan pembawa Hepatitis B yang disyaki.
Individu-individu yang memiliki risiko di atas perlu disaring untuk Virus Hepatitis B (HBV) sebaik sahaja mereka mengandung. Ataupun lebih baik lagi, sebelum mereka merancang untuk mendapatkan anak. Bagi mereka yang masih mempunyai faktor-faktor risiko dan yang menunjukkan tanda-tanda atau gejala dijangkiti kuman HBV, ujian ulangan perlu dilakukan walaupun ujian awalnya untuk Hepatitis B adalah negatif.

Mengenal pasti individu-individu yang memiliki faktor-faktor risiko di atas akan membantu mengurangkan penyakit ini dari merebak. Mereka yang terdedah kepada faktor-faktor risiko ini boleh diberikan suntikan jika mereka masih belum dijangkiti atau belum memiliki imuniti. Begitu juga dengan pasangan individu yang dijangkiti yang masih belum memiliki imuniti boleh diberikan suntikan untuk mengurangkan perebakan penyakit. Bayi yang dilahirkan dari ibu yang dijangkiti dan pembawa yang kronik boleh diberikan rawatan yang berkaitan untuk mencegah penyakit itu dari berlaku kepada mereka. Risiko bayi-bayi ini menjadi pembawa yang kronik adalah lebih tingi berbanding dengan golongan dewasa.

Telah terbukti bahawa pelaksanaan program yang menjalankan aktiviti-aktiviti untuk mengenal pasti individu yang mempunyai faktor-faktor risiko, melakukan usaha-usaha ke arah mencegah perebakan dan menjalankan kempen suntikan di kalangan mereka yang berisiko telah menunjukkan kejayaan. Antaranya, ia dapat mengurangkan kejadian atau insidens penyakit dan prevalens pembawa yang konik seperti yang dijalankan di bahagian Barat Amerika Syarikat. 

http://e-kesihatanmalaysia.blogspot.com/2012/01/hepatitis-b-dan-kehamilan.html

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...